Dr. Dzulkefly Ahmad
Dr. Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia sedang meneliti kebolehlaksanaan tindakan mewajibkan imunisasi kepada bayi dan kanak-kanak.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, satu Jawatankuasa Kerja yang melibatkan pelbagai agensi pemegang kepentingan telah ditubuhkan untuk mengkaji pelaksanaan dan implikasi yang berkaitan.

Dalam meneliti cadangan untuk mewajibkan imunisasi, Kementerian Kesihatan mengambil kira beberapa aspek iaitu sasaran umur kanak-kanak, jenis vaksin, tanggungjawab ibubapa dan pusat jagaan, taman asuhan dan sekolah serta penyedia perkhidmatan imunisasi.

Selain itu, penguatkuasaan, penalti, yuran perkhidmatam turut diambil kira.

Kementerian Kesihatan sedang dalam proses untuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak, termasuk agensi Kerajaan, agensi swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan yang berkaitan dalam meneliti isu-isu dan perkara yang perlu dimasukkan dalam kertas cadangan kebolehlaksanaan tindakan untuk mewajibkan imunisasi.

Sehingga kini, pelbagai program dan aktiviti advokasi telah dijalankan di semua peringkat bagi menangani isu keraguan serta penolakan vaksin.

“Kementerian Kesihatan turut mengadakan kolaborasi dengan NGO seperti Malaysian Paediatrics Association (MPA) , Immunise4Life dan Medical Mythbusters Malaysia dalam mempromosikan dan memberi maklumat tepat mengenai imunisasi kepada orang awam;

“Bekerjasama dengan JAKIM dan Pejabat Mufti untuk membetulkan pandangan masyarakat terutama tentang hukum dan fatwa berkaitan imunisasi. Program Jelajah Fatwa untuk menyebarkan fakta sebenar berkaitan vaksin dan imunisasi juga telah diadakan dan akan diteruskan,” katanya.

Beliau menjawab menjawab soalan Kelvin Yii Leen Wuen (DAP-Bandar Kuching) yang bertanya tindakan mewajibkan vaksinasi untuk kanak-kanak berikutan kenaikan kes diphtheria seperti yang dilaporkan di Johor baru-baru ini.

Kementerian Kesihatan juga meningkatkan latihan kepada anggota kesihatan agar mereka berpengetahuan dan mahir dalam memberi penerangan mengenai vaksin dan imunisasi. – MalaysiaGazette