Dr. Wan Azizah Wan Ismail
Dr. Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang menilai tahap keseriusan pencemaran sisa toksik di Pasir Gudang sebelum membuat keputusan untuk mengisytiharkan darurat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ini kerana pengisytiharan darurat boleh mencetuskan kecemasan dalam kalangan rakyat terhadap insiden yang sedang berlaku.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pandan berkata, usaha dan langkah-langkah menanganinya perlu dilakukan terlebih dahulu.

“Kita perlu adakan mesyuarat dulu dan sebab kita ada langkah-langkah menangani masalah itu.

“Kalau kita nak isytihar (darurat) ia akan jadi ‘panic attack’. Kita kena menimbangkan untuk (cara) menangani masalah itu. Apa yang perlu sekarang ambil langkah yang perlu dengan segera,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen.

Tambah beliau, buat masa ini isu pencemaran kimia yang bermula di Sungai Kim Kim itu masih di bawah bidang kuasa kerajaan negeri Johor.

“Sekarang ia di bawah tahap negeri belum lagi nasional,  saya akan melihat sendiri untuk menilai,” katanya yang akan ke Pasir Gudang petang ini untuk melihat perkembangan terkini.

Pencemaran toksik di Sungai Kim Kim telah menjejaskan orang awam di sekitarnya.

Setakat ini lebih 947 orang dirawat di hospital.

Sembilan daripadanya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru.- MalaysiaGazette