Mohd Azmi Abdul Hamid
Mohd Azmi Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab ke atas pencemaran melibat gas toksik di Pasir Gudang  Johor.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, berita mengejutkan itu membabit seluruh kawasan Pasir Gudang terkesan sehingga 111 sekolah ditutup berkuatkuasa semalam.

“Ini sangat serius dan dianggap malapetaka besar,” tegasnya menerusi kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Kata beliau, MAPIM berpendirian tidak mungkin mereka yang terlibat tidak tahu akibatnya jika gas beracun bocor menyebabkan toksik terlepas ke udara.

Menurutnya, kilang berkenaan yang beroperasi begitu lama sudah tentu wajib menjalani penyelenggaraan rapi kerana ia mengeluarkan gas berbahaya.

“Mereka yang terlibat mesti didakwa dan diheret ke mahkamah untuk menerima hukuman setimpal.

“Insiden melibatkan ratusan pelajar dan ribuan penduduk di kawasan itu perlu disiasat rapi. Tahap menepati keselamatan ditetapkan juga sudah tentu wajib dipatuhi sebelum mereka dibenarkan beroperasi di kawasan berkenaan.

“Kami berpendirian insiden kritikal separah ini memberi isyarat kepada pihak berkuasa supaya semua kawasan perusahaan melibatkan pengeluaran bahan  sampingan merbahaya seperti gas beracun perlu diperiksa dengan teliti,” ujar beliau.

Beliau berkata, negara ini perlu mempunyai peraturan ketat ke atas kilang pengeluaran bahan atau sisa bersifat toksik.

Jelas Mohd Azmi, kawalan ketat semua kilang mengeluarkan bahan toksik perlu dikuatkuasakan tanpa kompromi.

Ujar beliau, jika kerajaan tidak serius mengendalikan isu itu dengan melihat dasar kawalan ke atas semua kilang menghasilkan bahan toksik sama ada bersifat radiasi, pepejal, cecair mahupun gas, kemungkinan malapetaka besar bakal berlaku.

“Kami menggesa kerajaan menyemak semua dasar membenarkan kilang pengeluaran bahan toksik beroperasi di negara ini.

“Alasan pertumbuhan ekonomi serta peluang pekerjaan tidak harus mengatasi isu keselamatan manusia dan kualiti alam sekitar,” katanya. – MalaysiaGazette