Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sahruddin Jamal menunjukkan peta lokasi pencemaran toksik Sungai Kim Kim di Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana di Pasir Gudang, Johor hari ini.

PASIR GUDANG – Dua pusat rawatan awal mangsa pencemaran toksik di Sungai Kim Kim masing-masing di Dewan Serbaguna Taman Pasir Putih dan Dewan Taman Mawar di sini ditutup kerana kedua-duanya berada dalam zon merah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr. Sahruddin Jamal berkata, kedua-dua pusat rawatan itu terletak dalam radius 1 kilometer dalam kawasan tercemar.

Ia telah ditutup bermula sejak jam 6 petang semalam, katanya.

“Dengan perkembangan itu, kita membuka pusat rawatan awal di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini, ” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sahruddin berkata, stadium MPPG  terletak di zon hijau iaitu radius lima kilometer daripada kawasan pencemaran.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai pencemaran air tersebar sehingga ke Sungai Tiram.

Pada masa sama, tiada juga laporan diterima mengatakan bahawa pencemaran itu telah merebak ke Johor Port.

Dalam pada itu, Sahruddin turut menasihatkan agar penduduk setempat terutama berdekatan kawasan pencemaran Sungai Kim Kim agar tidak menyaksikan kerja-kerja pembersihan di sungai itu selain diberi amaran tidak ke kawasan zon merah.

Katanya, ia bagi memastikan keadaan terus terkawal selain dibimbangi proses tersebut boleh mendatangkan kemudaratan dan menjejaskan kesihatan.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala loya, muntah, pedih mata, sakit dada dan sesak nafas di pusat rawatan awal, di klinik atau hospital berdekatan,” ujarnya.

Tambah beliau, orang awam juga dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti di luar serta digalakkan memakai penutup hidung dan mulut. – MalaysiaGazette