KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia (SRIKANDI) mengutuk insiden tembakan rambang kepada umat Islam di Masjid Al-Noor serta Masjid Linwood di Christchurh, New Zealand.

Presiden SRIKANDI, Datuk Norasyikin Abd. Gani, berkata insiden terbabit meninggalkan kesan secara mendalam terhadap emosi  umat Islam seluruh dunia.

“Hari ini ramai keluarga kehilangan orang yang tersayang dalam kejadian kejam dan menyayat hati itu, saya tidak boleh bayangkan perasaan sedih dan trauma yang sedang dialami mereka ketika ini.

“Bagaimanapun diharap rakyat negara ini bertenang, tidak melakukan perkara mengikut emosi yang boleh menjejaskan keharmonian hidup berbilang kaum.

“SRIKANDI berharap tindakan tegas pihak berkuasa New Zealand untuk menangkap dan mendakwa suspek ke muka pengadilan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Norasyikin juga menyokong arahan kerajaan supaya tidak menyebarkan video insiden berkenaan walaupun mengakui ia sukar dalam zaman dunia tanpa sempadan sekarang.

“Sehubungan itu kerajaan wajar mengambil langkah mengumumkan segera setiap perkembangan rakyat Malaysia di negara terbabit termasuk yang menjadi mangsa bagi mengelakkan sebarang spekulasi orang ramai terhadapnya,” katanya.

Presiden Srikandi Malaysia, Datuk Norasyikin Abdul Ghani.
Presiden Srikandi Malaysia, Datuk Norasyikin Abdul Ghani.

Dalam pada itu, beliau berharap kerajaan memandang serius tragedi di New Zealand dan berusaha membendungnya berlaku di Malaysia.

“Pada pendapat saya, apa yang penting ialah bagaimana kita mendidik orang ramai kenapa pentingnya kita hidup dalam harmoni dan bersatu padu.

“Saya amat mengalu-alukan dokumentari ringkas mengenai pengorbanan orang terdahulu dalam memperjuangkan keamanan negara kita sentiasa dimainkan di kaca televisyen atau di panggung wayang, jangan fikirkan keuntungan semata-mata kerana jika keharmonian terjejas ekonomi turut hancur,” katanya.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast