Keadaan aliran Sungai Kim Kim yang tercemar dipercayai akibat pembuangan sisa toksik di Taman Kota Masai Cermai, Pasir Gudang, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 15 MAC 2019.

PASIR GUDANG – Kerja-kerja pembersihan di Sungai Kim Kim di sini yang tercemar dengan sisa toksik sudah dilakukan sejauh 680 meter.

Menteri Tenaga Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, ia merupakan separuh daripada 1.5 kilometer daripada kawasan pembuangan sisa berkenaan.

“Bahagian Sungai Kim Kim yang dikesan menjadi lokasi pembuangan sisa kimia telah dibersihkan, ini melibatkan jarak sejauh 680 meter.

“Bahagian yang tinggal adalah bahagian yang dikesan mengandungi sisa bahan kimia berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana di Menara Aqabah, di sini sebentar tadi.

Turut hadir pada sidang media itu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sahruddin Jamal dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung.

Sementara itu, Bee Yin turut memaklumkan penubuhan Jawatankuasa Saintifik bagi membantu kerajaan negeri menyiasat insiden pencemaran ini secara lebih saintifik.

“Jawatankuasa itu ditubuhkan bagi mencapai empat tujuan utama iaitu pengurusan data, pencegahan gelombang berulang, pengawasan persekitaran dan serapan pada tanah di dasar sungai.

“Jawatankuasa ini membabitkan pakar dan saintis daripada pelbagai agensi antaranya Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kimia, Petronas, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Kesihatan Negeri,” ujarnya. – MalaysiaGazette