Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bersalaman dengan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim (kiri) pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara dan Naib Pengerusi PERKEP Malaysia sambil diiringi Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador (dua kanan) di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 15 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Sikap Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yang tidak membantah pelantikannya sebagai Ketua Polis Negara sebelum ini membuatkan Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sangat mengagumi bekas timbalannya itu.

“Paling ikhlas ikut pendirian saya jangkakan peringkat awal mahu beliau (Noor Rashid) dilantik sebagai Ketua Polis Negara tetapi keadaan berubah dan saya dilantik tetapi Tan Sri tak bantah dan sentiasa bekerjasama dan bantu saya sejak itu dengan penuh berintegriti.

“Itu yang saya tersentuh hati dan terpegun dengan beliau dan semalam pun kami masih berbincang tentang kepimpinan PDRM,” kata Mohamad Fuzi.

Beliau berkata demikian apabila ditanya wartawan apa yang terbaik dilihatnya pada diri Noor Rashid pada sidang media selepas serah Noor Rashid kepada pemangku Timbalan Ketua Polis Negara kepada Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Hamid Bador di sini hari ini.

Malah komitmen Noor Rashid yang tidak bercuti seperti kelaziman bekas pegawai PDRM yang mahu bersara juga dipuji oleh Mohamad Fuzi.

“Walaupun setengah pihak bercuti sebelum bersara tetapi beliau juga sepatutnya melalui proses itu tapi tidak bercuti tapi terus bertugas sehingga hari terakhir perkhidmatan beliau,” ujarnya.

Mohamad Fuzi juga merakamkan penghargaan kepada isteri Noor Rashid, Puan Sri Shahriza Saad yang menjalankan tugas sebagai Pengerusi PERKEP Malaysia sejak pemergiannya arwah isterinya yang meninggal dunia pada 15 Disember 2017.

Sementara itu, beliau juga menyatakan Abdul Hamid akan menjalankan tugas timbalannya sehinggalah keputusan rasmi dibuat oleh kerajaan kelak.

Noor Rashid yang juga Timbalan Ketua Polis Negara yang ke-14 itu akan bersara mulai 17 Mac ini dan memandangkan tarikh itu jatuh pada hari Ahad, majlis serah tugas diawalkan hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Mohamad Fuzi juga membaca pantun khas kepada Noor Rashid;

‘Siulan unggas di tengah rimba, kicaunya kuat mengusik jiwa, macam mana hati tak hiba, semusim bersama berpisah jua.’

‘Macam mana hendak diluah, luluh hati rentan berduka, walau ditakdir kita berpisah, diizin tuhan berjumpa jua.”- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Saya mahu tulis buku, jadi petani – Noor Rashid