Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – UMNO menyediakan satu pasukan khas peguam untuk memberi khidmat percuma kepada semua pihak yang menanggung kesan daripada tragedi pencemaran sisa toksid di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.

Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan khas peguam itu diketuai Adzly Ab. Manas yang akan membantu mangsa dan keluarga  membuat tuntutan ganti rugi dari pemilik kilang terbabit.

“Pasukan peguam ini akan turun segera ke lokasi kejadian untuk bertemu mangsa, yang mana kita percaya ada kesan jangka pendek dan jangka panjang berikutan tragedi itu,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau turut melahirkan perasaan sedih dengan tragedi yang sedang berlaku di Pasir Gudang ketika ini dan berdoa semua mangsa dirawat segera sembuh.

Katanya, beliau juga kesal tindakan sambil lewa kerajaan Johor dalam menangani isu itu dan terbukti tiada tindakan pembersihan sungai dilakukan seperti didedahkan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Lebih mengecewakan, ujarnya, apabila alasan kerajaan Johor tidak melakukan pembersihan kerana kos terlalu tinggi, seolah nyawa rakyat tidak berharga kepada mereka.

“Saya juga kecewa keputusan Kerajaan Persekutuan tidak mengisytiharkan ‘Darurat Bencana’ di Pasir Gudang dan Tebrau walaupun usul tergempar telah dibawa Ahli Parlimen Pasir Gudang dan disokong pembangkang Barisan Nasional (BN) dan Pas.

“Saya juga berharap tindakan membuang toksid ke sungai ini jika dianggap sebagai tindakan jenayah, maka saya mendesak supaya pihak berkuasa bertindak segera, menghadapkan mereka ke muka pengadilan tanpa berdolak dalik lagi,” katanya. – MalaysiaGazette