KUALA LUMPUR – Petisyen mendesak Senator Queenslanda, Senator Fraser Anning meletak jawatan kini hampir mencecah satu juta tandatangan.
Petisyen itu yang dibuka di laman web chang.org oleh seorang netizen bernama Kate Ahmad sejak Anning membuat kenyataan kontroversi semalam, mencatatkan sebanyak 977,406 tandatangan sehingga jam 6.30 petang ini.
Orang ramai di seluruh dunia mengutuk kenyataan senator berkenaan yang mengaitkan serangan pengganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand dengan penghijrahan pendatang Islam ke negara itu.
Dalam serangan ketika sekumpulan umat Islam hendak menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Noor itu, seorang pengganas tiba-tiba menyerang dan menembak mati sekurang-kurangnya 49 jemaah.
Terbaharu, seorang lagi mangsa tembakan rambang itu meninggal dunia hari ini menjadikan mangsa terkorban mencecah 50 orang.
Petisyen mendesak Anning meletakkan jawatan dibuka kepada umum di seluruh dunia untuk memaklumkan, bahawa tidak ada tempat di Australia pemimpin seperti senator itu.
“Sebagai negara berbilang kaum, Australia mengecam kenyataan Anning dan mendesak beliau meletakkan jawatan.
“Australia tidak memerlukan pemimpin seperti Anning,” kata petisyen itu.
Petisyen itu juga memberitahu, desakan netizen Australia agar senator berkenaan disiasat kerana kenyataan lebih memihak kepada keganasan sayap kanan. – MalaysiaGazette