KUALA LUMPUR – Walaupun berdepan dengan pelbagai isu termasuk dakwaan disabotaj, filem Tamil tempatan, Kuttram Seiyel mendapat pencalonan bagi anugerah berprestij negara, Festival Filem Malaysia (FFM) ke-30 hujung bulan ini.
Sejak tayangan filem bercorak aksi komedi hasil kerjasama antara Malaysia-India itu, bermacam-macam isu diperdengarkan termasuk pembatalan tayangan selain dakwaan sabotaj yang disengajakan.
Malah ada juga pihak terang-terangan meminta umum supaya tidak menyokong Kuttram Seiyel dengan alasan ianya tidak banyak memberi peluang kepada penggiat tempatan sebaliknya banyak menonjolkan artis India namun kenyataan itu kemudian telah ditarik balik.
Namun disebalik itu, beberapa hari lepas, Kuttram Seiyel yang bermaksud ‘Jangan Buat Salah’ itu mendapat pencalonan daripada FFM sekaligus memberikan sinar harapan kepada keseluruhan warga Cini Shatriya Sdn Bhd dengan tunjang belakangnya, penerbit selain pengasas produksi, Dr S Selvamuthu.
Bercakap kepada Malaysia Gazette hari ini, pengarah muda serta anak kepada Selvamuthu, Bharathirajaa, pihaknya cukup teruja dan dapat menarik nafas kelegaan kerana pencalonan ini membawa makna besar.
“Menang atau tidak, itu tidak penting. Ini pada kami satu pengiktirafan dan itu sahaja berlegar dalam fikiran kami. Terima kasih FFM dan juga keseluruhan warga kerja Kuttram Seiyel.
“Anda semua hebat kerana walaupun berdepan dengan pelbagai kritikan serta dugaan, masing-masing masih lagi teguh berdiri dan berkeyakinan. Kami sangat positif kerana bapa saya sentiasa mahu memberikan yang terbaik dalam industri ini.
“Kerjasama kami dengan orang luar khasnya dari India kerana mahu belajar dengan lebih mendalam untuk filem-filem serta karya seterusnya. Pada kami, kritikan demi kritikan ini sebenarnya akan membina kami pada masa hadapan, itu sahaja,” katanya.
Kuttram Seiyel membawa mesej ‘berat’ walaupun jalan ceritanya menjurus kepada aksi komedi itu mengetengahkan isu gangsterisme yang sehingga kini masih lagi menghantui komuniti India di negara ini.
Ia berkisar bagaimana seseorang itu dengan mudah mengambil jalan menyertai dunia ‘gangster’ namun tidak dapat berpatah balik, sekali gus menghancurkan kehidupannya.
Filem tempatan yang kos pembikinannya terus dirahsiakan telah membuka tirainya pada 7 Mac lepas ditayangkan di hampir 50 buah pawangam seluruh negara.
Kuttram Seiyel yang merupakan kerjasama antara India-Malaysia ini menampilkan watak utama dari India, Bose Venkat, Vijith, Sam selain daripada Dr Selvamuthu sendiri.
Selain menampilkan dua pengarah, A. Venkatesh dari India dan Bharathirajaa, mereka juga telah membawa masuk pengarah muzik baharu, Arvin Raj dengan menghasilkan tiga buah lagu termasuk Annanukku Porandha Day yang dinyanyikan oleh Gana Bala, penyanyi India Selatan. – MalaysiaGazette
https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/22/kisah-dr-selva-bharathirajaa-dan-filem-tamil-tempatan/
https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/13/cemburu-betul-dengan-tayangan-filem-kuttram-seiyel/