CHRISTCHURCH, NEW ZEALAND – Penjaga gol fusal New Zealand turut menjadi mangsa maut serangan di dua masjid di Christchurch di sini yang berlaku Jumaat lalu.

Atta Elayyan, 33, dilahirkan di Kuwait namun berketurunan Arab Palestin menjadi antara 50 mangsa yang terkorban setakat ini dan 11 lagi dalam keadaan kritikal.

Dia berhijrah ke New Zealand dan menjadi Ketua Pegawai Eksekutif kepada sebuah syarikat teknologi yang berpangkalan di Christchurch.

Elayyan merupakan seorang penjaga gol dalam skuad futsal New Zealand.

Dia juga merupakan penjaga gol bagi pasukan Canterbury yang beraksi dalam pertandingan domestik futsal di New Zealand.

Pihak berkuasa negara itu melaporkan Elayyan berada di Masjid An Noor yang merupakan salah sebuah masjid yang diserang di Christchurch.

Bekas pegawai Persatuan Bola Sepak New Zealand (NZ Football) telah menuliskan ucapan yang memuatkan memori bersama Elayyan namun badan sukan itu tidak dapat memberikan sebarang komen disebabkan belum menerima pengesahan rasmi. – MalaysiaGazette