KUALA LUMPUR – Pergerakan Wanita UMNO Malaysia mengajak semua pihak mengambil segala langkah yang perlu dalam membantu mangsa pencemaran gas beracun di Pasir Gudang, Johor.
Ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, antara bantuan yang diperlukan ialah makanan, minuman dan barangan kesihatan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong bersama Ahli-Ahli Parlimen pembangkang hari ini melawat dan menyampaikan bantuan kepada sukarelawan serta mangsa pencemaran sisa kimia, di Stadium Tertutup Pasir Gudang.
“Bantuan yang kita hulurkan hari ini adalah makanan, minuman dan barangan kesihatan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Menurut Noraini, lawatan dan bantuan itu sebagai tanda prihatin Wanita UMNO dan Ahli-Ahli Parlimen pembangkang membantu meringankan beban mangsa yang terlibat.
Beliau turut menyeru semua pihak sama-sama berdoa agar krisis pencemaran di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang yang memudaratkan kesejahteraan rakyat kembali pulih. – MalaysiaGazette