Zaid Ibrahim
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diminta menangguhkan perancangannya untuk melaksanakan projek kereta nasional ketiga.

Sebaliknya, beliau harus memberi tumpuan kepada keadaan cuaca yang panas dan isu Lesbian, Biseksual, Gay dan Transgender (LGBT) yang semakin membarah ketika ini.

Aktivis politik yang juga ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim berkata, khutbah Jumaat beberapa hari lalu membangkitkan kebimbangan rakyat Malaysia dengan fenomena cuaca panas dan tuntutan hak sama rata LGBT.

“Dua isu ini yang menghimpit rakyat Malaysia ketika ini. Jadi, Dr. Mahathir dan jemaah Kabinetnya harus memberi perhatian bagaimana untuk menanganinya.

“Sekarang bukan masa untuk bercakap mengenai projek kereta nasional ketiga yang kononnya memberi peluang kepada rakyat untuk mempelajari mengenai teknologi,” katanya menerusi ciapan Twitter beliau hari ini.

Berhubung teknologi yang perlu dipelajari, Zaid yang merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, ilmu dan pengetahuan itu boleh dipelajari bila-bila masa.

Katanya, untuk masa sekarang ia bukan keperluan, tetapi masalah cuaca dan isu LGBT perlu diutamakan.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), fenomena cuaca panas yang melanda Semenanjung dan Sabah sejak sebulan lalu dijangka berterusan sehingga hujung bulan ini.

Cuaca panas yang berlaku ketika ini adalah fenomena biasa yang melanda negara berikutan penghujung monsun timur laut.

Manakala sempena Hari Wanita minggu lalu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong LGBT telah mengadakan perhimpunan haram di ibu kota menuntut hak sama rata.

Kumpulan itu membuat tuntutan meminta kerajaan menghapuskan diskriminasi jantina, menamatkan keganasan terhadap wanita, memperkukuhkan hak wanita dan peluang serta gaji yang sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast