Kekalahan pertama
Stefano meraikan gol pembukaan ke atas pendahulu Serie A Juventus dalam aksi malam tadi.

ITALI – Juventus buat pertama kali tewas dalam aksi Serie A musim ini pada Ahad semalam.

The Old Lady yang beraksi tanpa kelibat Cristiano Ronaldo dimalukan dengan kekalahan mengejut 2-0 oleh Genoa.

Ronaldo sebelum itu direhatkan dalam liga tempatan selepas gol hatrik menentang Atletico Madrid untuk mara ke suku akhir Liga Juara Juara Eropah pada Khamis lalu.

Stefano Sturaro bintang Juventus yang dipinjamkan kepada Genoa pada Januari lalu mengejutkan pelawat selepas membuka jaringan dalam separuh masa kedua pada minit ke-72.

Manakala rakan sepasukannya Goran Pandev yang masuk sebagai pemain gantian menggandakan jaringan dengan perlawanan berbaki 10 minit lagi.

Skuad kendalian Massimiliano Allegri ternyata kecewa dengan kekalahan itu kerana dalam pertemuan di Turin pada Oktober lalu, Juventus dinafikan tiga mata penuh dengan diikat 1-1 oleh Genoa.

Juventus setakat ini keciciran mata sebanyak tiga kali dengan terikat seri ketika menentang Genoa, Atalanta dan Parma.

Jentera serangan Juventus yang dibarisi Paulo Dybala berjaya merobek gawang gol tuan rumah dan meraikan gol itu ke arah penyokong.

Bagaimanapun, sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) menafikan jaringan Dybala atas alasan Dybala berada pada kedudukan offside semasa menjaringkan gol.

Ketiadaan Ronaldo di jentera serangan ternyata menggugat kemenangan Juventus.

Namun, Juventus masih mengungguli takhta Serie A dengan perbezaan 18 mata dengan Napoli yang mendudki tempat kedua dalam carta.

Manakala Genoa dengan kemenangan itu telah mengumpul 33 mata dan melonjak ke tangga 12 dalam kedudukan Serie A.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast