Sebahagian daripada serpihan pesawat Boeing 737 Max 8 Ethiopian Airlines yang terhempas pada 10 Mac 2019. foto Reuters

ADDIS ABABA – Data penerbangan daripada Ethiopian Airline menunjukkan’ ‘persamaan yang jelas’ dengan kejadian nahas yang membabitkan pesawat Lioin Air pada Oktober tahun lalu.

Kedua-dua pesawat adalah Boeing 737 Max 8.

Dalam kejadian nahas 10 Mac itu, pesawat Ethiopian Airlines terhempas selepas berlepas dari Addis Ababa ke Nairobi, mengorbankan 157 orang penumpang.

Menteri Pengangkutannya, Dagmawit Moges berkata, laporan awal berhubung nahas itu akan didedahkan dalam tempoh 30 hari.

“Persamaan yang jelas dikesan dalam kejadian nahas pesawat 302 Ethiopian Airlines dan pesawat Lion Air 610, yang akan menjadi subjek kajian dalam siasatan,” katanya kepada media.

Dalam kedua-dua kes, data jejak pesawat menunjukkan pesawat berubah secara mendadak kerana mengalami pendakian yang tidak menentu dan kemudian menjunam.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Boeing, Dennis Muilenburg memaklumkan syarikat itu akan menyokong siasatan yang dijalankan.

Dalam satu kenyataan, beliau menambah, Boeing akan terus kemas kini perisian sistem kawalan penerbangan “sebagai tindak balas kepada input sensor yang salah”.

Setakat ini belum ada satu mayat yang telah dikenal pasti disebabkan impak nahas.

Sebelum ini, media melaporkan juruterbang mengalami masalah selepas berlepas dan meminta untuk berpatah balik.

Ketika kejadian keupayaan pandangan adalah baik tetapi pemantau trafik udara Flightradar24 berkata, kelajuan menegak tidak stabil selepas pesawat berlepas

Bagi nahas Lion Air yang mengorbankan 189 orang penumpang pada 29 Oktober tahun lalu, penyiasat mengenal pasti wujud masalah sistem anti-berhenti – yang direka untuk menghentikan pesawat daripada naik pada sudut yang terlalu tinggi kerana ia boleh kehilangan daya angkat.

Semasa penerbangan JT610, sistem itu berulang kali memaksa muncung pesawat ke bawah, walaupun pesawat itu tidak terhenti – mungkin disebabkan oleh sensor yang rosak.

Juruterbang cuba membetulkan muncung pesawat lebih tinggi, sehingga sistem menolaknya lagi. Ia berlaku lebih daripada 20 kali.

Susulan nahas kedua dalam tempoh lima bulan membabitkan model Boeing yang sama, kebanyakan negara telah mengharamkan penggunaannya di ruang udara. – MalaysiaGazette