Brenton Tarrant
Brenton Tarrant dibawa keluar selepas dihadapkan ke mahkamah di New Zealand, Sabtu lepas.

CHRISTCHURCH, New Zealand – Penembak kejam dua masjid di Christchurch, Brenton Tarrant memecat peguambela, Richard Peters dan merancang untuk mewakili dirinya sendiri di Mahkamah Tinggi di sini, 5 April ini.

Memetik laporan New Zealand Herald hari ini, Peters berkata, tindakan Tarrant sebagai satu cubaan untuk menukar perbicaraan pertuduhan jenayah kepada platform kepercayaannya.

Peters yang mewakili Tarrant di mahkamah, Sabtu lepas, mengesahkan perkara itu hari ini dan beliau tidak lagi mewakili warga Australia yang berusia 28 tahun itu.

“Apa yang kelihatan jelas kepada saya adalah tingkah lakunya tidak rasional.

“Dia kelihatan tidak bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran atau gangguan mental selain daripada memegang pandangan yang sangat melampau,” katanya.

Tarant yang melabelkan dirinya sendiri sebagai pelampau kulit putih, telah memuat naik video serangan tersebut secara langsung di akaun Facebook miliknya ketika kejadian.

Setakat ini, 50 orang terkorban dalam tragedi itu manakala 50 lagi cedera dalam kejadian yang disifatkan sebagai serangan terburuk di negara itu.

Menurut Pesuruhjaya Polis New Zealand, Mike Bush, tiga lagi suspek yang terdahulu turut ditahan susulan serangan itu dipercayai tidak terlibat secara langsung, namun siasatan masih dijalankan.

Bush berkata, pihak berkuasa kini sedang mengenal pasti semua mangsa serangan Masjid Al Noor dan Masjid Linwood dan akan mengeluarkan senarai penuh secepat mungkin.

Sementera itu, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern yang menyifatkan insiden itu sebagai serangan pengganas berkata, Tarrant memiliki lesen senjata api dan mempunyai lima pucuk pistol. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast