Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyampaikan ucaptama pada Invest Malaysia 2019 The Capital Market Forum di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 19 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang menimbang untuk menyenaraikan entiti matangnya ke dalam pasaran saham pada masa hadapan dan mengurangkan pemegangan saham beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam syarikat senaraian awam.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, rancangan itu adalah untuk memastikan parameter kawalan risiko yang lebih ketat bagi penerbitan Jaminan Kerajaan, akses pasaran yang lebih baik dan mengenal pasti peluang potensi penjanaan wang daripada aset.

“Prinsip panduan utama bagi menjana wang daripada mana-mana aset kita adalah pelupusan atau penjanaan wang tidak boleh dilakukan pada harga diskaun yang sangat tinggi, dan sebarang penjualan saham, penjanaan wang daripada aset, lelongan atau langkah-langkah lain akan dilakukan secara teratur dan disampaikan secara bersepadu di seluruh entiti pelaksana.

“Tidak akan ada gangguan kepada pasaran modal, keyakinan terhadap pasaran kewangan, persekitaran penarafan dan pertumbuhan ekonomi, ” katanya dalam ucap tama beliau semasa acara Invest Malaysia 2019, di sini, hari ini.

Perdana Menteri juga menegaskan bahawa bukan menjadi hasrat kerajaan untuk GLC bersaing dengan sektor swasta.

“Hasrat kita adalah agar GLC memainkan peranan pemangkin untuk menyokong ekonomi. Kita ingin mempelawa sektor swasta menyertai GLC dalam usaha memenuhi sebahagian daripada agenda ekonomi kebangsaan, ” kata Dr Mahathir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast