Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir (tengah) dan barisan tertinggi Parti IKATAN bergambar menandakan sokongan selepas sidang media Mengishtiharkan Deklarasi Solidariti Terhadap Kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad di Pusat pelancongan Malaysia (Matic), Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 19 Mac 2019

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) mengisytiharkan Deklarasi Solidariti dengan kepimpinan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada masa sama, menurut Presiden Ikatan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, partinya masih bersama dengan Pas dalam Gagasan Sejahtera (GS).

Katanya, dalam mengisytiharkan Deklarasi Solidariti itu, pihaknya tidak perlu mendapatkan izin daripada Pas kerana parti itu mengadakan perjumpaan dengan Dr. Mahathir pada Jumaat minggu lalu juga tanpa memaklumkan kepadanya.

“Lagipun GS bukan gabungan yang berdaftar. Ia hanya lebih kepada pembentukan atas dasar persetujuan kedua pihak dan terpulang kepada parti masing-masing untuk membuat pendirian,” katanya pada sidang media mengisytiharkan Deklarasi Solidariti dengan kepimpinan Dr. Mahathir di Pusat Pelancongan Malaysia di sini, hari ini.

Menurut Abdul Kadir, deklarasi itu dibuat selepas mendapat persetujuan sebulat suara Dewan Tertinggi Ikatan yang bermesyuarat pada 12 Mac lalu.

Ditanya mengenai perjumpaan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Dr. Mahathir baru-baru ini, beliau menjelaskan, perkara itu tidak mengejutkan.

“Tidaklah mengejutkan apabila Pas menghantar beberapa pemimpin tertingginya berjumpa dengan Dr. Mahathir dan berikrar memberi sokongan padu mereka kepadanya dalam menghadapi sebarang masalah memimpin negara.

“Namun, ini adalah perkara luar biasa kerana Pas adalah pesaing politik begitu hebat berpuluh tahun lamanya.

“Selang dua tiga minggu selepas itu Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan telah membuat kenyataan akhbar memberi jaminan bagi perkara yang sama,” katanya.

Mengenai hubungan Ikatan dengan Pas selepas pengisytiharan Deklarasi Solidariti itu, Abdul Kadir menjelaskan, ia berjalan seperti biasa dan setiap kali ada isu, partinya menghantar wakil untuk menyatakan pendirian.

Beliau turut mengulas lanjut mengenai kepimpinan Dr. Mahathir yang disifatkan sebagai pemimpin yang berjaya dalam kepimpinannya sebagaimana ditunjukkan selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri sebelum ini.

Katanya, Dr. Mahathir berjaya memimpin negara ke arah kejayaan kerana pada waktu itu beliau mengetuai kerajaan yang formatnya berlainan dengan yang ada sekarang (kerajaan Pakatan Harapan).

“Ketika itu Dr. Mahathir mengetuai Kabinet, di mana beliau dihormati sebagai “Pertama di kalangan yang sama” dan begitu juga di Barisan Nasional (BN) dengan 14 parti komponen, beliau diberi kepercayaan yang sama.

“Banyak dari dasar dan projek yang diperkenalkan beliau menghadapi kontroversi pada mulanya dan pada penghujungnya beliau sering terbukti benar,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast