Noh Omar

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tanjong Karang (BN), Tan Sri Noh Omar mendedahkan dirinya tidak menghormati sebarang keputusan yang dilakukan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming pada sebelah pagi berhubung penggantungan beliau selama tiga hari bermula hari ini.

Sebaliknya, kata Noh Omar keputusan baharu yang telah dibuat oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berhubung ‘ruling’ itu sebenarnya yang diterima olehnya secara terbuka.

“Ruling pagi tadi yang dibuat ketika saya tiada dalam Dewan dengan menggantung kehadiran saya selama tiga itu dibuat oleh Kor Ming selaku Timbalan Spekaer saya tidak terima.

“Tetapi keputusan muktamad oleh Mohamad Ariff selaku Yang Dipertua itu saya akur dan terima. Saya hormat keputusan mengikut Perkara 44 itu kerana saya berada dalam Dewan dan dibenarkan membela saya.

“Saya hanya hendak pertikaikan, mengapa semalam, sewaktu saya sedang berdepan dengan beliau mengapa ketika itu beliau tidak menggunakan Peraturan 44 (1) ataupun Peraturan 44 (2), pada masa itu beliau patut arah saya untuk menarik balik tuduhan, tapi beliau tidak buat.

“Bagaimanapun, ingin saya tegaskan saya tidak tarik balik sebarang kenyataan yang saya buat dalam Dewan semalam, itu muktamad,” katanya kepada pemberita di lobi sebentar tadi.

Terdahulu, selepas penangguhan Dewan untuk makan tengah hari,  Mohamad Ariff menyatakan keputusan menggantung Noh Omar daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama tiga hari bermula hari ini adalah muktamad selepas diberi peluang membela diri.

Mohamad Ariff membuat penetapan berkenaan setelah berpuas hati dengan penjelasan wakil pembangkang berkenaan selain meneliti hansard kenyataan Noh Omar dalam sesi perbahasan semalam.

Namun sekali lagi kekecohan berlaku antara wakil kerajaan dan pembangkang sehingga menjadi gamat serta tidak terkawal.

Dengan keadaan tidak terkawal itu, sidang Dewan Rakyat ditangguhkan selama 15 minit berikutan kekecohan yang berlaku.

“Saya memberi kesempatan untuk membela diri, tak disebut pun keputusan akan ditarik balik sama sekali.

“Saya menggunakan kuasa Yang Dipertua di bawah Peraturan 44,Peraturan 6, untuk menangguhkan majlis ini selama 15 minit,” ujarnya. –MalaysiaGazette