Ti Lian Ker

KUALA LUMPUR – Parti MCA tidak guna bahasa kasar untuk ‘membakar’ hati pengundi seperti DAP.

Naib Presidennya, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, pemimpin partinya tidak pernah bermain-main atau mengejek pihak lawan.

MCA juga, katanya ‘tidak cukup seksi’ berbanding DAP untuk menggunakan sentimen perkauman.

Sebaliknya, MCA mempunyai kekuatan sendiri yang tidak ada pada DAP iaitu semangat tolak ansur kaum yang terbina hasil kerjasama parti itu dengan parti kaum lain sejak sekian lama.

“Sejak pilihan raya umum yang lepas, MCA telah memulakan proses mentransformasikan diri. Akan tetapi, usaha kami dilihat sebagai ‘tidak cukup seksi’ jika dibandingkan dengan Dap yang kerap mengeksploitasi emosi majoriti kaum Cina,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Lian Ker, DAP sukar untuk diterima oleh masyarakat Melayu kerana sikap dan tingkah laku mereka yang mencerminkan sikap ‘ultra-Cina’.

MCA juga sudah menunjukkan rekod baik menguruskan pelbagai isu melibatkan semua rakyat Malaysia termasuk pendidikan dan bantuan masyarakat, katanya.

“MCA tidak ada masa membuat jenaka atau lawak sebagai badut seperti pemimpin DAP untuk mengejek dan memprovokasi kebencian terhadap parti lain atau pemimpin.

“MCA tetap memperjuangkan integriti politik dan integrasi nasional dan bukannya eksploitasi politik perkauman seperti mana yang dibuat veteran Dap, Lim Kit Siang ataupun bermulut celupar seperti Superman Hew (Kuan Yau),” katanya lagi.

Walaupun mengakui sokongan terhadap MCA semakin berkurangan namun partinya berusaha mentransformasi diri dan menempatkan kembali mereka sebagai parti memperjuangkan kaum Cina di negara ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast