Mohd Kassim Abdul Hamid
Mohd Kassim Abdul Hamid

SHAH ALAM – Menjadi saksi ke-23 inkues kematian anaknya, Mohd Kassim Abdul Hamid memberitahu Mahkamah Koroner hari ini bahawa Muhammad Adib pernah meracau kerana trauma ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

Perkara itu berlaku pada satu malam kira-kira jam 3 hingga 4 pagi selepas diberitahu oleh jururawat, justeru bapa dan ibunya membantu menenangkannya di wad Unit Rawatan Rapi (ICU). 

“Ada sekali dalam 3 hingga 4 pagi jururawat beritahu kami Adib meracau jadi kami jumpa dia, tengok keadaannya agak trauma saya pun tenangkan dia alhamdulillah dia nampak sedikit tenang malam tu,” katanya kepada Mahkamah Koroner hari ini. 

Dalam keadaan anaknya yang kritikal dan trauma, dari hari pertama anggota bomba itu dirawat Mohd Kassim tidak pernah mengajukan apa-apa soalan tentang kejadian yang berlaku pada malam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman 27 November lalu. 

Selain itu, beliau mendedahkan kecederaan yang banyak di badan anak kedua daripada empat adik-beradik itu seperti calar di betis, jari, lebam teruk dari dada sehingga rusuk kirinya dan bahunya.

“Kecederaan banyak di badan Adib yang nampak ketara di kawasan sebelah kanan, ketara lebam sampai hitam dari dada ke tulang rusuk, lengan sebelah kanan.

“Bila saya dekat, saya usap kepalanya. Ada benjol lebih daripada satu dan di belakang kepalanya ada kesan luka di belakang sebelah kiri, sebelah tangan kanan ada bengkak sebesar jari, ada lagi calar-calar di badan yang sudah kering.

“Bahagian jari ada calar-calar, betis kedua-dua belah ada lebam-lebam. Di jari tangan kiri menulis ada calar-calar,” jelasnya dengan tenang. 

Lima hari di IJN, Mohd Kassim, 64, berkata, kesihatan anaknya yang pada mulanya kelihatan semakin baik seterusnya memberi harapan kepada beliau sebagai bapa bahawa Muhammad Adib akan sihat, namun sebaliknya yang berlaku. 

“Masa saya tengok dia sedar lima hari, kami mak ayah berasa lega tengok dia semakin pulih, harapan kami dia akan bertambah sembuh,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast