Mohd Kassim
Mohd Kassim masih meratapi pemergian anaknya yang terbunuh dalam kejadian rusuhan kuil dua tahun lalu.

SHAH ALAM – Anggota bomba yang bertarung nyawa selama 20 hari di Institut Jantung Negara (IJN), Muhammad Adib Mohd Kassim pernah meminta bapanya membawanya pulang dan dirawat di  kampung di Kedah. 

Namun Mohd Kassim Abdul Hamid meyakinkan anaknya bahawa IJN merupakan tempat terbaik untuknya menerima rawatan rapi.

“Dia bertulis minta kita balik berubat di kampung dalam tempoh lima hari tapi saya beri keyakinan tidak boleh, saya cakap di IJN tempat terbaik, dengan doktor-doktor terbaik “ katanya. 

Menggambarkan Adib anak yang baik dan sering menghulurkan bantuan dari aspek tenaga dan kewangan, allahyarham ketika di IJN masih sempat bertanyakan tentang perbelanjaan ibunya ketika pertama kali bertemu dan berinteraksi di IJN.

“Dia pernah tulis khabar mak dia, perbelanjaan mak dia, bertanyakan adik dia,” katanya kepada Mahkamah Koroner. 

Pada akhir keterangannya, Mohd Kassim yang kelihatan tenang dan berjaya mengawal emosi di hadapan Hakim Rofiah Muhamad meminta kematian anaknya diadili. 

Sekali lagi beliau mahu pihak berkuasa mengambil tindakan kepada pihak yang merancang rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman dan perusuh dikenakan tindakan kerana anaknya meninggal dunia susulan kejadian yang berlaku pada 27 November itu. 

“Saya difahamkan anak saya mati di dalam satu rusuhan, saya nak siapa-siapa yang rancang rusuhan, yang ada dalam rusuhan, terlibat rusuhan diambil tindakan.

“Saya nak minta keadilan kematian anak saya. Saya minta pada yang berwajib adili kematian anak saya dengan betul-betul,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast