Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kementerian Dalam Negeri Tahun 2018 di Auditorium KDN Putrajaya, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 21 MAC 2019.

PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan sebarang keraguan mengenai dua kerakyatan perlu disertakan dengan bukti yang kukuh.

Jelas beliau, sebarang tuduhan terhadap individu yang didakwa memiliki dua kerakyatan perlu disiasat kerana ia melibatkan isu negara.

“Kalau ada apa-apa maklumat tepat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan menyiasat dan jika terbukti dia melanggar peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan maka dia boleh dilucutkan hak kewarganegaraan Malaysia.

“Kalau ada laporan, kita tahu tapi kalau tak lapor sukar untuk siasat, kita juga mesti ada bukti-bukti sebab ini isu besar berkaitan hak sebagai wargnegara dan apa yang termaktub dalam perlembagaan, jadi kita perlu lebih berhati-hati,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kementerian Dalam Negeri 2018 di Auditorium KDN Putrajaya hari ini.

Muhyiddin mengulas mengenai laporan sebuah akhbar tempatan yang melaporkan ada warga Thailand mempunyai kad pengenalan Malaysia sejak tahun 1980-an.

Dalam laporan itu, warganegara Thailand yang berkahwin di negara ini akan mendaftarkan kelahiran anak mereka bagi membolehkan golongan itu memperoleh kad pengenalan dari Malaysia.

Ia bagi memudahkan mereka tinggal di negara ini dan berulang alik ke Thailand tanpa sekatan.

Bagaimanapun, Muhyiddin menafikan negara ada memberikan warga negara kepada warganegara asing.

“Adakah pada 1980-an kerajaan ada membenarkan dua warganegara? Saya fikir tidak. Itu 1980-an, kita dah 20an (2019) apa nak tanya yang dulu? Ia ikut perlembagaan sejak dulu begitu,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, adalah menjadi kesalahan bagi yang memiliki dua warga negara.

Ujarnya, dasar kerajaan tidak mengiktiraf pemilikan lebih daripada satu kewarganegaraan.

“Seorang warga negara Malaysia boleh kita ambil tindakan perlucutan kewarganegaraan sebagaimana yang diperuntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Tindakan perlucutan untuk kesalahan-kesalahan ini boleh diambil di bawah Perkara 24(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast