Tan Sri Kenneth Eswaran

KUALA LUMPUR –  Kejatuhan mendadak nilai aset Khazanah Nasional sebanyak RM25 bilion khususnya sejak pentadbiran Malaysia dipegang Pakatan Harapan mula menimbulkan persoalan mengenai keupayaan kerajaan mentadbir urus dana kekayaan negara itu.

Penyusutan nilai aset kepada RM91 bilion dikatakan berpunca dari pada ketidaktentuan ekonomi global pada 2018 yang menyaksikan pasaran gagal menunjukkan perkembangan memberangsangkan akibat ketegangan geopolitik serta ramalan pesimis pertumbuhan pasaran baru muncul.

Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Johor (JICCI), Tan Sri Dr Kenneth Eswaran berkata, keuntungan diperoleh Khazanah dijana dari pelbagai sektor seperti syarikat penerbangan, telekomunikasi, tenaga dan landasan kereta api yang diuruskan Kementerian Kewangan.

Menurut beliau, ia membolehkan dana kewangan negara itu mempelbagaikan sumber pendapatan sekali gus muncul sebagai pemacu ekonomi Malaysia seperti yang diketahui hari ini.

“Keadaan ini bagaimanapun berubah apabila Khazanah mula mencatatkan kerugian sebelum cukai RM6.3 bilion pada 2018 berbanding keuntungan sebelum cukai sebanyak RM2.89 bilion pada tahun sebelumnya.

“Senario ini menimbulkan persoalan, apa sudah jadi pada institusi kewangan terkaya Malaysia ini?” katanya.

Mengulas lanjut Kenneth berkata, penyusutan nilai aset Khazanah kepada RM91 bilion selepas kejatuhan RM25 bilion ini amat membimbangkan dan memerlukan penjelasan terperinci daripada semua pihak terbabit.

“Jika dilihat kepada penjelasan Khazanah, keadaan ini berlaku kerana kekurangan pelaburan, pengurangan pendapatan dividen dan masalah lain semasa proses transisi badan kewangan itu.

“Ketika negara ditadbir Datuk Seri Mohd Najib Razak yang juga pengerusi Khazanah, aset syarikat menjulang sehingga RM82.3 bilion atau 244 peratus dari hanya RM33.7 bilion pada akhir 2008 kepada RM116 bilion menjelang akhir 2017,” katanya.

Jelas Kenneth, nilai aset dana kerajaan itu pada 2004 ketika negara ditadbir Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah RM51 bilion.

“Sebagai kerajaan yang dilantik bersandarkan kepercayaan rakyat, mereka perlu menunaikan segala janji dan memberi tumpuan kepada menyelesaikan semua masalah. bukan sekadar menuding jari menyalahkan kerajaan terdahulu.

“Rakyat mahukan keputusan positif sebagai membuktikan keputusan dibuat mereka pada pilihan raya lalu bukan satu kesilapan. Jangan nanti sudah terlepas dari mulut buaya, masuk pula ke mulut harimau,” tegasnya. -MalaysiaGazette