Keadaan aliran Sungai Kim Kim yang tercemar dipercayai akibat pembuangan sisa toksik di Taman Kota Masai Cermai, Pasir Gudang, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 15 MAC 2019.

KUALA LUMPUR – Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) hari ini menggesa Kerajaan Persekutuan untuk membentuk jawatankuasa bebas tetap mengkaji insiden Sungai Kim Kim dengan segera.

Jawatankuasa bebas itu merupakan sebahagian daripada perlindungan dan pemantauan jangka panjang bagi semua mangsa yang terkesan dan keluarga mereka.

Berikut adalah cadangan yang dibuat oleh AWER:

(i) Pengerusi Jawatankuasa ini tidak boleh dipilih daripada anggota Kabinet atau ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan negeri. sila pilih seorang pakar yang bebas untuk mempengerusikan jawatankuasa ini supaya jawatankuasa ini berfungsi secara telus. keanggotaan jawatankuasa tidak boleh melebihi 6 wakil agensi kerajaan, 2 wakil daripada penduduk yang terkesan dan 3 lagi anggota bebas yang merupakan pakar bidang berkenaan.

(ii) Jawatankuasa ini mesti menerbitkan butir-butir penuh peristiwa dari hari pertama insiden berlaku di laman web yang khas. semua bahan kimia yang direkodkan dengan keputusan ujian masing-masing juga mesti diterbitkan. buat masa ini, rakyat hanya mendapat maklumat kualitatif dan bukannya maklumat kuantitatif. contohnya, agensi kerajaan berkenaan telah mengumumkan bahawa kualiti udara di pasir gudang adalah selamat (maklumat kualitatif) tetapi tidak mengumumkan data terperinci kualiti udara (maklumat kuantitative).

(iii) Pemodelan kualiti dan penyebaran udara (air dispersion) sejak hari pertama kejadian juga mesti diterbitkan jika ia telah dilakukan untuk memeriksa pergerakan pencemar (plumes). ini akan membantu menetapkan kawasan terjejas sebenar.

(iv) Semua minit mesyuarat yang berkaitan dengan kejadian ini juga harus diterbitkan.

(v) Kos yang ditanggung oleh semua agensi kerajaan mesti direkodkan secara terperinci.

(vi) Ringkasan laporan pemeriksaan perubatan mangsa-mangsa hendaklah dimasukkan ke dalam laporan dari hari pertama insiden itu. Kajian kohort oleh kementerian kesihatan juga mesti dikemukakan kepada jawatankuasa ini.

(vii) Jawatankuasa teknikal yang dibentuk oleh kerajaan mesti mengemukakan laporan yang telus kepada jawatankuasa ini tentang pemantauan kualiti udara, pemantauan kualiti air, pensampelan air bawah tanah, sampel haiwan akuatik dan tumbuhan yang diambil dari hulu sg kim kim, 10 meter dari zon tercemar, setiap 100 meter zon tercemar dan jarak sampel yang sesuai ke arah hiliran.

(viii) Jawatankuasa ini juga perlu mengkaji kemungkinan membentuk dana bagi mangsa untuk memudahkan pemeriksaan perubatan berkala pada frekuensi yang berlainan bagi kumpulan umur yang berlainan dan juga mereka yang mempunyai masalah kesihatan yang sedia ada.

(ix) Semua mangsa yang sudah dikenalpasti dan mangsa yang mungkin dikenalpasti dalam masa terdekat (kerana sesetengah orang mungkin tidak menunjukkan simptom dengan serta-merta) mesti mempunyai amaran perubatan dengan mereka atau dalam rekod kesihatan mereka untuk mengelakkan simptom keracunan kimia yang mungkin didiagnosis dengan salah sebagai masalah perubatan lain. ini adalah untuk mengelakkan diagnosis yang salah dan penggunaan ubat yang tidak betul.

(x) Pangkalan data mangsa, mangsa yang bakal dikenalpasti kemudian yang berumur 12 tahun dan ke bawah serta ibu mengandung mesti disediakan serta-merta dan pemantauan kesihatan mereka perlu dilakukan dengan kekerapan yang lebih tinggi. pangkalan data ini boleh dibuat dengan mudah dengan mengambil sejarah perubatan mangsa daripada pangkalan data sedia ada dan lanjutkan kepada mangsa yang mungkin dikenalpasti pada masa akan datang. ini akan membantu kementerian kesihatan dalam membangunkan kajian kohort yang lebih menyeluruh.

(xi) Jawatankuasa ini juga harus mengenal pasti potensi risiko kepada responden pertama yang mungkin tidak menyedari keseriusan pencemaran dan mungkin juga terdedah. kami juga menyedari terdapat beberapa kakitangan media yang terjejas semasa menjalankan tugas mereka untuk membawa kebenaran kepada kita semua. jawatankuasa ini juga harus memasukkan mereka sebagai sebahagian daripada mangsa insiden ini.

(xii) Jawatankuasa ini juga perlu mewujudkan satu mekanisma untuk membantu kos perubatan masa depan bagi mangsa dan pampasan bagi kehilangan pendapatan apabila mangsa menjadi tidak mampu bekerja.

(xiii) Kerajaan juga harus memfasilitasi kerja jawatankuasa ini dan mendapatkan ganti rugi daripada pesalah dan syarikat yang mungkin dihubung kaitkan dengan menggunakan pesalah untuk membuang bahan kimia beracun. ini adalah untuk membiayai kos pembersihan serta kos perubatan mangsa pada masa depan.

AWER berharap kerajaan akan mempertimbangkan saranan itu untuk memastikan kesejahteraan para mangsa diurus sepenuhnya apabila kesan berbahaya sebenar muncul.

Malah, AWER turut mengalu-alukan semua pihak untuk menyumbang idea dan sokongan untuk menjadikan jawatankuasa ini satu kenyataan.

“Ini bukan jawatankuasa “mencari kesalahan”. Kami mahukan keadilan untuk semua mangsa dan lebih bersedia untuk menguruskan insiden sebegini jika ia berulang di mana-mana lokasi lain di negara kita atau di luar,” katanya.

AWER berkata, beberapa bahan kimia yang dilaporkan terkandung dalam pencemaran toksik di Sungai Kim Kim seperti benzena adalah karsinogenik dan kesan daripada pendedahan kepada bahan kimia ini adalah tersembunyi tetapi bahaya.

Menurut pertubuhan kesihatan sedunia, benzene adalah karsinogenik kepada manusia dan tiada tahap pendedahan yang selamat dapat ditetapkan untuk pendedahan melalui udara dan kesan kepada kesihatan akan berlaku selepas beberapa tahun.

Bahan kimia ini dihirup oleh mangsa-mangsa dalam insiden di Sungai Kim Kim dan pencemaran dalam bentuk gas adalah berisiko tinggi berikutan kemampuannya memasuki tubuh manusia secara langsung melalui paru-paru. Pendedahan kedua adalah melalui kulit.

Topeng muka yang digunakan hanya akan mengurangkan kepekatan gas sedemikian memasuki paru-paru kita dan bukan pencegahan 100 peratus.

Bahan-bahan kimia ini secara individu adalah cukup bahaya.

Disebabkan oleh keputusan yang dibuat oleh agensi-agensi kerajaan yang menyebabkan kelewatan pembersihan bahan-bahan kimia dan keengganan untuk memindahkan mangsa-mangsa dari kawasan yang terjejas, penduduk-penduduk terlibat dari semua peringkat umur pada asasnya “diperap secara perlahan” dengan zarah-zarah bahan kimia ini.

Oleh itu, keseriusan sebenar keracunan bahan kimia ini tidak diketahui. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast