GOPENG – Kementerian Kesihatan sedang mengkaji pokok hemp, sejenis tumbuhan herba daripada spesies Cannabis sativa, bagi tujuan pertanian.

Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye berkata, walaupun tumbuhan itu mempunyai kandungan ganja, kadarnya adalah sangat rendah berbanding potensi dalam beberapa industri termasuk tekstil.

“Kita sedang mengkaji sama ada tumbuhan ini boleh kita majukan sebagai satu tumbuhan untuk sumber pertanian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Pidato Bahasa Cina di Sekolah Menengah Kebangsaan Poi Lam, di sini hari ini.

Sementara itu, ditanya mengenai penanaman pokok ganja bagi tujuan perubatan di negara ini, Dr Lee berkata, perkara tersebut memerlukan kajian menyeluruh melibatkan pelbagai kementerian termasuk Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, serta Kementerian Industri Utama.

Katanya, walaupun pengambilan ganja adalah kesalahan menurut Akta Dadah Berbahaya 1952, pengambilan produk atau ubat-ubatan berasaskan ganja tidak tertakluk kepada undang-undang itu.

“Sebagai contoh, kita menggunakan ‘pethidine’ (petidina) dan ‘morphine’ (morfin) untuk kegunaan perubatan di hospital dan klinik,” katanya.

Rabu lepas, Anggota Dewan Undangan Negeri Jeram, Mohd Shaid Rosli daripada PH mencadangkan agar kerajaan Selangor menimbang penanaman ganja bagi tujuan perubatan.

Ini kerana katanya, menurut Akta Dadah Berbahaya 1952, mana-mana jabatan kerajaan boleh melakukan penanaman ganja bagi tujuan perubatan. – Bernama