KUALA LUMPUR – Pasukan Harimau Malaya seperti dijangka menamatkan saingan Piala Air Marine 2019 di tempat ketiga hari ini dengan menewaskan  Afghanistan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe membuat dua pertukaran dengan memberi kepercayaan kepada Faiz Nasir dan Hadin Azman untuk mengemudi jentera serangan.

Bermain dalam hujan, Malaysia dikejutkan dengan gol pembukaan Afghanistan menerusi ledakan Faysal Shayesteh dari luar kotak penalti pada minit ke-32.

Namun gol tersebut tidak bertahan lama apabila Malaysia bangkit bagi menyamakan kedudukan menerusi jaringan Faiz Nasir seminit sebelum masa rehat.

Sejurus separuh masa kedua bermula, kedua-dua pasukan mula mula berbalas serangan untuk memburu gol kemenangan.

Namun nasib tidak menyebelahi Afghanistan apabila rayuan sepakan penalti dengan mendakwa pemainnya diterjah pemain Malaysia dalam kotak penalti pada minit ke-59 tidak diendahkan pengadil.

Malaysia mendapat peluang terbaik pada minit ke-61 untuk mendahului namun dua penyerang yang berdepan penjaga gol lawan, Ovays Azizi gagal memanfaatkan peluang itu.

Lima minit kemudian percubaan tepat ke gol lawan sekali lagi dinafikan Ovays selain percubaan Norshahrul Idlan Talaha melepasi palang gol.

Malaysia bernasib baik mendapat gol kemenangan apabila Abassin Alikhil menjaringkan gol sendiri ketika berlawanan berbaki enam minit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast