Mohamed Khaled Nordin.

 

KUALA LUMPUR – Tragedi pencemaran kimia di Sungai Kim Kim wajar menjadi faktor pendesak dan pemangkin untuk menyegerakan pembinaan Hospital Pasir Gudang yang telah lama dirancang.

Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, semasa Johor di bawah pentadbirannya, antara perkara utama dan paling kritikal yang sangat mengambil masa untuk diselesaikan adalah rundingan untuk memastikan hospital tersebut dibina di kawasan yang sesuai dan praktikal.

Ini menyebabkan berlakunya penukaran tapak dalam cadangan asal yang dinilai sebagai tidak sesuai, sekali gus memakan masa kerana keperluan mencari tapak baharu yang lebih sesuai.

“Akhirnya, perkara ini telah pun berjaya diselesaikan. Peruntukan sudah diumumkan dan proses pecah tanah juga telah dilakukan pada 4 Mei 2018. Namun, sehingga kini nampaknya masih belum ada sebarang perkembangan dan kemajuan.

“Kerajaan Negeri sepatutnya serius meneruskan pelan ini dengan segera bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan. Malah, perkara ini telah turut mendapat perhatian daripada DYMM Sultan Johor yang menitahkan agar ia disegerakan,” kata beliau di sini.

Yang pasti, kepesatan pembangunan Pasir Gudang sebagai sebuah kawasan industri dan mempunyai penduduk yang ramai mesti dilengkapkan dengan infrastruktur serta prosedur keselamatan yang menyejahterakan semua pihak.

Malah, katanya, wujud keperluan untuk kerajaan negeri memperkemaskan prosedur serta garis panduan sedia ada berhubung pengurusan kes kecemasan atau krisis alam sekitar.

Ini kerana, adalah jelas dan terbukti kegagalan kerajaan negeri bertindak tangkas dan segera menjadi antara penyumbang yang memburukkan keadaan di Pasir Gudang tempoh hari.

Menurutnya, dengan adanya garis panduan serta prosedur yang lebih kemas, jelas dan tegas, pastinya kelewatan tindakan seperti ini tidak akan berulang, sekali gus membolehkan kerajaan negeri, khususnya Menteri Besar bertindak
pantas dan cekap.

“Tidak kiralah pada waktu kejadian tersebut Menteri Besar berada di Jerman atau Batam atau mana-mana sahaja pelosok dunia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast