Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah

KUALA LUMPUR – Koperasi sekolah tidak boleh lagi bergantung kepada perniagaan tradisional dengan menjual kelengkapan sekolah sahaja.

Sebaliknya, koperasi sekolah perlu berani melebarkan bisnes kepada komuniti di dalam dan di sekitar sekolah.

“Koperasi perlu melebarkan fungsi mereka kepada komuniti, bukan sekadar untuk pelajar atau guru sekolah sahaja,” kata Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Dengan pendekatan itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh memainkan peranan menggalakkan komuniti mereka membeli barang keperluan rumah di koperasi sekolah.

“Dengan sokongan PIBG, ibu bapa boleh mendapatkan bekalan  garam, gula tepung dan sebagainya di koperasi ini,” tambah beliau.

Kaedah itu akan dapat meningkatkan pendapatan koperasi, sekali gus sasaran 50 koperasi meraih pendapatan RM1 juta dapat dicapai.

Abdul Fatah berkata, maklumat yang diterima Angkasa, sehingga kini sebanyak tujuh koperasi sekolah memperoleh pendapatan mencecah sehingga RM1 juta melalui hasil jualan. – MalaysiaGazette