Dr Muhammad Ezanni Mat Salleh menunjukkan surat pengesahan kelayakan akademik oleh UniMap. foto Bernama

JOHOR BAHRU – Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Datuk Dr Muhammad Ezanni Mat Salleh menafikan beliau memegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) palsu, seperti yang ditularkan dalam media sosial, baru-baru ini.

Beliau telah menamatkan pengajian program Ijazah Doktor Falsafah (Kejuruteraan) Sistem Elektrik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada 8 September 2015 dengan majlis konvokesyen diadakan pada 19 September, tahun sama.

“Di pangkalan data Kementerian Pendidikan Malaysia juga ada tersenarai nama saya. Saya mempunyai surat pengesahan kelayakan akademik yang telah disahkan Timbalan Naib Canselor Akademik Antarabangsa), Professor Ir Tan Sri Dr Rezuwan Kamaruddin,” katanya kepada media di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini.

Beliau yang hadir ke mahkamah itu untuk menyaksikan kes pendakwaan tiga suspek kes pencemaran sisa bahan Kimia Sungai Kim Kim turut menunjukkan surat kelayakannya itu kepada media .

Mengulas lanjut, Muhammad Ezanni berkata selepas menamatkan pengajian, beliau terus berkhidmat di sektor perkhidmatan awam sebagai pegawai kawalan alam sekitar bermula tahun 2004.

“Saya merupakan pemegang biasiswa jabatan perkhidmatan awam (JPA) dan sebagai pemegang biasiswa, saya mempunyai kontrak dengan JPA,” katanya.

Katanya, berikutan tohmahan yang dihadapi, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Pelangi, di sini, pada 15 Mac lalu bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap dalang yang menyebarkan dakwaan terbabit.

“Saya nasihatkan masyarakat agar sentiasa meneliti dan menyelidik kesahihan sesuatu berita, sebelum mempercayainya kerana ia boleh menjejaskan reputasi dan maruah seseorang individu,” katanya.

Baru-baru ini, terdapat pihak mendakwa izajah kedoktoran yang dimiliki Muhammad Ezanni adalah palsu berikutan jawatan yang dipegangnya kini tidak sealiran dengan bidang pengajian yang diikutinya. – MlaaysiaGazette