Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA – Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan empat setiausaha agung parti komponen Pakatan Harapan (PH) termasuk beliau mengeluarkan kenyataan bersama mengulas isu wawancara Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Saifuddin Nasution berkata, beliau sudah menghubungi Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke; Datuk Marzuki Yahya (PPBM) serta Annuar Tahir (AMANAH) dan mereka menafikan penyebaran kenyataan media terbabit.

“Yang diviralkan kononnya ada empat setiausaha parti dalam PH mengeluarkan kenyataan memberi respon terhadap kenyataan Izzah itu tidak benar sama sekali.

“Saya setiauasaha agung parti, saya menghubungi setiausaha agung parti-parti lain, (memang) tiada kenyataan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Citarasa Malaysia – Hari Bersama PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), di sini, hari ini.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sambil diiringi Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Jamil Salleh (dua kiri) menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Citarasa Malaysia di Dewan Serbaguna, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 25 MAC 2019

Terdahulu tular kenyataan media Sekretariat PH menggunakan kepala surat parti itu yang antara lain mengambil maklum wawancara Nurul Izzah dengan media Singapura, Straits Times baru-baru ini.

Saifuddin Nasution berkata, penularan kenyataan bersama empat setiausaha agung komponen PH itu sebagai cubaan untuk memecahbelahkan antara parti pemerintah itu.

“Tapi hari ini tular meluas di media sosial, satu lagi berita palsu untuk mewujudkan ketegangan dalam hubungan parti dalam PH,” katanya lagi. – MalaysiaGazette