Mohamad Fuzi
Mohamad Fuzi Harun

KUALA LUMPUR – Pegawai dan anggota polis kini perlu mengikuti garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika mengendalikan tahanan autisme pada masa akan datang.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, buku panduan SOP pengendalian autisme itu diterbitkan berikutan kes penahanan seorang lelaki autisme yang didakwa meraba seorang wanita di sebuah restoran di Subang Jaya tahun lalu.

Katanya, penahanan seorang remaja autisme tanpa mendapatkan maklumat lengkap selain direman polis dikritil orang ramai dan netizen.

“Jadi untuk mengatasi masalah sedemikian agar tidak berulang lagi di masa akan datang saya mengarahkan agar satu jawatankuasa ditubuhkan diketuai Ketua Urusetia KPN Penyelidikan dan Pembangunan Komisioner, Datuk Ramli Din.

“Hampir enam bulan mereka bekerja keras bertungkus lumus mengadakan bengkel dan sebagainya, alhamdulillah hari ini kita berjaya melancarkan buku itu,” katanya dalam sidang media selepas sambutan Hari Polis Ke-212 di Pusat Latihan Polis di Jalan Semarak di sini.

Tambah beliau, pihaknya juga telah menubuhkan Pusat Autisme di Pulapol dan kerja menaiktaraf pusat itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Kata Mohamad Fuzi, satu lagi Pusat Autisme akan dibangunkan di Maktab Polis DiRaja Malaysia di Cheras dalam masa terdekat ini.

Menurut beliau, ia juga akan membantu polis untuk menguruskan anak=anak autisme dalam kalangan warga PDRM iaitu seramai 484 orang.

“Dalam PDRM sahaja ada semuanya 484 orang, kalau tak silap saya anak anak autisme dan lebih 100 orang di Lembah Klang,” ujarnya.

Ditanya adakah PDRM mendapatkan kepakaran khas dalam bidang autisme, beliau berkata, pihaknya mempunyai pakar autisme dari universiti tempatan.

“Kita tak ketandusan pakar dalam bidang ini dan kami diberi pandu arah nasihat pendidikan dan pengawasan kepada anak anak PDRM dan juga kanak kanak autisme seluruh negara,” katanya. – MalaysiaGazette