Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi ketua setiausahanya, Datuk Seri Alwi Ibrahim (dua kanan) beramah mesra dengan sebahagian pemain PDRM FC sewaktu mengadakan pertemuan bersama mereka di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 25 MAC 2019.

KUALA LUMPUR – Kerajaan belum memuktamadkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) walaupun pada prinsip sudah ada keputusan dibuat sebelum ini.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat perlu wujud satu proses maklumbalas dengan pihak-pihak terbabit seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) ataupun agensi-agensi penguatkuasaan lain.

“Kita masih memerlukan pemahaman dalam soal penubuhan IPCMC sepenuhnya supaya apabila tertubuhnya nanti keputusan itu dapat diterima baik oleh semua pihak.

“Mungkin saya fikirkan ada langkah-langkah susulan walaupun pada awal kita sudah membuat keputusan penubuhan IPCMC tetapi maklumbalas yang saya terima mungkin lebih ramai belum dapat memahami sepenuhnya tujuan dan cara bagaimana ia dilaksanakan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media yang turut dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak hari ini.

Terdahulu Muhyiddin mengadakan pertemuan dan menyampaikan amanat khas kepada pasukan bola sepak PDRM FC.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pagoh itu mengakui wujudnya kebimbangan segelintir masyarakat bahawa suruhanjaya itu hanya akan tertumpu kepada satu pihak sahaja tanpa mencakupi pihak berkepentingan.

“Maka ada keperluan untuk saya untuk terus berhubung dengan pelbagai agensi terlibat dan mendapatkan maklum balas sebelum isu IPCMC dimuktamadkan dengan pelaksanaan pada masa akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette