Datuk Hafarizam Harun
KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan Penasihat Undang-undang UMNO Datuk Mohd Hafarizam Harun yang didakwa atas dua pertuduhan penggubahan wang haram berjumlah RM15 juta, untuk menukar penjamin.

Hakim Azman Ahmad membenarkan permohonan itu selepas mendengar permohonan peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Mohd Hafarizam ketika kes ditetapkan untuk sebutan semula.

Hasnal Rezua memberitahu mahkamah pihaknya memohon untuk menukar penjamin dalam kes itu atas alasan Aisha Mubarak bukan lagi rakan kongsi dalam firma berkenaan.

“Sehubungan itu, untuk mewujudkan hubungan (nexus) kami memohon mengganti penjamin Aisha kepada Noor Arlisma Zainul Ariff,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan untuk penjamin diganti dengan mengekalkan syarat dan jumlah jaminan terdahulu.

Pada masa yang sama, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ishak Mohd Yusoff memohon mahkamah untuk tempoh sebulan bagi kedua-dua pihak mengadakan sesi sidang sebelum perbicaraan (PTC) dan membincangkan perkara berbangkit serta dipersetujui semasa sidang tersebut.

Mahkamah menetapkan 24 April ini untuk sebutan semula kes setelah permohonan itu tidak dibantah oleh pihak pembelaan.

Pada 21 Feb lepas, bagi pertuduhan pertama Mohd Hafarizam, 47, didakwa melibatkan diri secara langsung dalam dua transaksi yang membabitkan hasil daripada aktiviti haram, iaitu dengan menyebabkan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM11,500,000 melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dimasukkan ke dalam akaun firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM) di CIMB Bank Berhad.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan PWTC, Menara Dato’ Onn, Jalan Tun Ismail, di sini antara 16 April 2014 dan 4 Nov 2014.

Bagi pertuduhan kedua pula, Mohd Hafarizam didakwa melakukan kesalahan sama berjumlah RM3,500,000 melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib, yang dimasukkan ke dalam akaun firma guaman sama di CIMB Bank Berhad di tempat sama pada 12 Feb 2015.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Pertuduhan itu memperuntukkan hukuman penjara penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mohd Hafarizam telah diikat jamin dengan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

— BERNAMA