LANGKAWI – Pengenalan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) pada 1991 telah membantu menjadikan Malaysia seiring dengan pemangkin dan perkembangan pesat industri pertahanan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri, semasa melancarkan LIMA’19 hari ini, berkata langkah menganjurkan LIMA perlu memandangkan Malaysia kini menjadi terkenal dan dikenali sebagai pameran maritim dan aeroangkasa utama di rantau Asia Pasifik.
“Sebagai anggota Parlimen Langkawi , tentunya bangga dapat menyaksikan edisi LIMA kali ini yang masih menarik peserta maritim dan aeroangka antarabangsa serta perniagaan dari setiap pelusuk dunia.
“Edisi ke-15 LIMA mengimbau kembali edisi 1991 apabila saya melancarkan Rangka Tindakan Pembangunan Industri Aeroangkasa Pertama di Malaysia.
“Ia merupakan satu langkah berani untuk sesetengah orang dan langkah awal bagi orang lain. Tetapi apabila melihat kepada apa yang kita ada sebelum ini dengan pembangunan aeroangkasa hari ini, ia adalah langkah penting untuk memastikan Malaysia seiring dengan pemangkin dan industri pesat berkembang, ” katanya dalam ucapan perasmiannya.
LIMA’19 menyaksikan penyertaan 406 syarikat berkaitan pertahanan dan entiti komersil dari 32 negara yang melibatkan 206 syarikat tempatan dan 200 syarikat antarabangsa.
Edisi ke-15 LIMA dianjurkan bersama oleh EN Projects (M) Sdn Bhd, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan.
Dr Mahathir menegaskan bahawa ancaman keselamatan moden memerlukan Malaysia dan negara-negara lain terus menaik taraf dan memodenkan aset strategik mereka dan dengan itu di dalam Belanjawan 2019, kerajaan memperuntukkan RM5.9 bilion bagi sektor keselamatan yang meliputi pertahanan, ketenteraman awam dan penguatkuasaan.
“Pelaburan dalam sektor keselamatan akan melibatkan melengkapkan Angkatan Tentera dengan persenjataan dan teknologi terkini. Kita merancang untuk menjadikan Malaysia sebagai negara aeroangkasa terkemuka di Asia Tenggara dan bahagian penting dalam pasaran global sebagaimana yang nyatakan dalam Rangka Tindakan Industri Aeroangksa Malaysia 2030.
“ Setakat ini, sebanyak 19 inisiatif utama Rangka Tindakan itu telah dilaksanakan oleh Pejabat Penyelarasan Industri Aeroangkasa Kebangsaan yang menyaksikan perkembangan positif terutamanya dalam perniagaan pembuatan aeroangkasa serta MRO (penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih),” kata beliau.
Perdana menteri berkata di arena global, Malaysia dikenali dengan produk aeroangkasa berkualiti yang dihasilkannya untuk peneraju aeroangkasa dunia di mana beberapa produk berkenaan turut dipamerkan di LIMA`19 bagi menunjukkan keupayaan Malaysia dalam menghasilkan produk aeroangkasa bertaraf dunia.
Oleh itu, beliau percaya LIMA`19 boleh menjadi tempat bagi peserta global mencari pembekal tempatan yang terlibat dalam eksport produk aeroangkasa. – MalaysiaGazette