Nurul Izzah digelar Puteri Reformasi oleh pejuang Anwar Ibrahim.
Nurul Izzah Anwar

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berpendapat tidak menjadi kesalahan untuk memberi kritikan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Anak sulung Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, apatah lagi jika kritikan yang dibuat itu adalah membina berdasarkan suara rakyat.

Tegasnya, beliau juga melihat tidak menjadi masalah untuk menggunakan gelaran bekas diktator yang merujuk kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sebelum ini saya pernah menggunakan perkataan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan ketika memberi ucapan di perhimpunan Bersih, beberapa tahun lalu.

“Ia fakta daripada rekod saya dan saya cakap sebelum pilihan raya dan ketika demonstrasi Bersih 3.0 atau 4.0.

“Saya tidak faham kenapa bercakap dalam forum berbeza namun mengandungi mesej yang sama adalah sesuatu yang bermasalah,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, hari ini.

Nurul Izzah turut memberitahu temubual dengan akhbar Singapura, The Straits Times apabila kenyataannnya menyifatkan Mahathir sebagai bekas diktator dan mengakui sukar bekerja dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dibuat seminggu yang lalu.

Dalam temubual itu, Nurul Izzah turut meluahkan rasa kecewanya dengan kerajaan PH kerana gagal menunaikan janji dan menggerakkan agenda reformasi sepertimana sepatutnya. – MalaysiaGazette