Akmal Nasir
Akmal Nasir

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mahu kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalan Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meneliti semula model perniagaan food truck.

Ketuanya, Akmal Nasir berkata, pihaknya menerima rungutan daripada orang ramai makanan di food truck agak mahal berbanding harga di warung dan tepi jalan.

Oleh itu, kata beliau, KPDNHEP perlu melihat semula faktor yang menyumbang kepada jualan harga makanan agak mahal.

“Tidak dinafikan perniagaan food truck ini adalah trend perniagaan yang banyak diceburi oleh anak muda disebabkan kemudahan mobiliti dan konsepnya yang unik.

“Keunikan perniagaan ini kerana ia mudah bergerak dan sudut peragaan barangan yang lebih baik.

“Tetapi saban hari kita selalu mendengar rungutan orang ramai dan warga net bahawa jualan makanan dan minuman menerusi konsep ini terlalu mahal,” katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik menerusi blog beliau semalam.

Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru juga meminta kerajaan merangka model perniagaan yang lebih mapan agar peniaga tidak menanggung kos yang terlalu tinggi.

Netizen juga turut merungut harga makanan Food Truck terlalu mahal
Netizen juga turut merungut harga makanan Food Truck terlalu mahal

Sementara itu, beberapa netizen turut meninggalkan komen berhubung konsep makanan food truck yang disifatkan harga seperti di hotel lima bintang.

Netizen, Hafiz Rahman berkata, kerajaan perlu pantau semula sewa tapak untuk peniaga berkenaan yang dikatakan menjadi punca jualan makanan menjadi terlalu mahal selain lokasi tidak strategik.

Bagaimanapun, netizen Izzat Asyraf berpendapat, daripada kerajaan menumpu konsep food truck, lebih baik memberi kelonggaran kepada penjaja meniaga di tepi jalan dan tidak diganggu pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Ini tidak, nampak saja orang Melayu meniaga di tepi jalan, anggota penguatkuasa PBT kacau.

“Mereka angkut barangan perniagaan sehingga orang Melayu bukan sahaja hilang mata pencarian, tetapi terpaksa menanggung kerugian kehilangan barangan perniagaan,” katanya. – MalaysiaGazette