Datuk Dr Md Farid Md Rafik
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) Datuk Dr Md Farid Md Rafik.

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan mengurangkan saiz perkhidmatan awam tidak melibatkan kakitangan yang sedang berkhidmat pada masa ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Md. Farid Md. Rafik berkata, pengecilan saiz perkhidmatan awam hanya melibatkan sebanyak enam peratus penjawatan yang tidak diisi.

“Jumlah pengisian merangkumi 94 peratus, jadi ada enam peratus lagi penjawatan tidak diisi. Kadar ini konsisten dari tahun ke tahun.

“Dari segi pengurangan, kita lihat jawatan itu tidak diisi tetapi penyampaian perkhidmatan dapat dioptimumkan.

“Kita tak sentuh penjawat awam yang ada bersama kerajaan hari ini,” katanya pada sesi soal jawab ketika sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) yang bertanya sekiranya pengecilan jumlah perkhidmatan awam akan memberi impak berganda kepada pelbagai isu lain termasuk menimbulkan masalah sosial.

Terdahulu, ketika menjawab soalan yang dikemukakan Md. Farid berkata, jumlah keseluruhan perjawatan perkhidmatan awam adalah sebanyak 1.7 juta jawatan dengan peratus pengisian sebanyak 94 peratus iaitu bersamaan dengan 1.6 juta orang.

“Ia merangkumi perkhidmatan awam persekutuan, badan berkanun persekutuan, perkhidmatan awam negeri, badan berkanun negeri dan pihak berkuasa tempatan,” tambah beliau.

Dalam perkembangan sama, Md. Farid menegaskan, kerajaan sentiasa memantau keberkesanan penjawat awam sedia ada supaya tiada pertindihan fungsi berlaku. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast