Mendiang Karpal Singh

KUALA LUMPUR – Mahkamah Persekutuan hari ini sebulat suara membebaskan mendiang Karpal Singh dari dakwaan menghasut mengenai krisis Perlembagaan Negeri Perak pada tahun 2009 lalu.

Mahkamah membatalkan keputusan bersalah awal yang dibuat Mahkamah Tinggi dan kemudiannya Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabitan kesalahan hasutan itu.

Panel hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Malaya Zaharah Ibrahim berkata, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebenarnya telah melakukan ‘kesilapan’ kerana gagal menimbang pembelaan pemimpin DAP itu bagi tuduhan menghasut mengenai kenyataannya.

Malah panel tersebut juga telah memutuskan sebulat suara bahawa wujudnya kesalahan yang serius dilakukan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan apabila mensabitkan pemimpin DAP itu dengan dakwaan tersebut.

Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor yang berkerusi roda telah terkorban dalam kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Gua Tempurung pada 17 April 2014 sebelum beliau sempat mencabar sabitannya di Mahkamah Rayuan.

Turut berada dalam kereta itu adalah pembantu rumah Karpal Singh, seorang wanita warga Indonesia yang cedera parah dan mengalami pendarahan di bahagian otak sementara anak lelaki pemimpin DAP itu, Ram Singh, 38, dan pemandu kenderaan MPV tidak mengalami kecederaan.

Sebelum itu. pada 21 Februari 2014, Karpal didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur atas tuduhan menghasut kerana mempertikaikan kuasa Sultan Perak menyingkirkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak pada tahun 2009.

Karpal didakwa melakukan kesalahan itu di firma guamannya di Jalan Pudu Lama, Kuala Lumpur pada 6 Februari 2009.

Pada 11 Mac tahun sama, dia didenda RM4,000 oleh Mahkamah Tinggi kerana kesalahan dan kemudian pada 24 Mac 2009 pula dia memfailkan notis untuk membawa kes itu untuk rayuan di Mahkamah rayuan.

Isteri mendiang, Gurmit Kaur melahirkan rasa lega dengan keputusan tersebut yang padanya keadilan akhirnya dapat ditegakkan.

“Sudah lima tahun sejak beliau meninggal dunia, namanya kini sudah bersih, saya tahu dirinya akan bersemadi dengan aman. Kami sangat gembira keadilan dapat ditegakkan,” katanya sambil ditemani anaknya, Sangeet Kaur Deo. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast