Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah meluluskan mekanisme proses pengambilan pemain naturalisasi untuk mewakili skuad kebangsaan, Harimau Malaya menerusi tiga peringkat.

Peringkat itu ialah jangka pendek, jangka pertengahan dan jangka panjang.

Keputusan itu dicapai pada mesyuarat kali ketujuh bagi penggal 2017-2021 yang dipengerusikan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Haji Mohd Amin di Pulau Pinang.

FAM dalam kenyataannya berkata, proses jangka pendek membabitkan pemain berdarah campuran yang sama ada mereka sendiri dilahirkan di Malaysia, ibu atau bapanya dilahirkan di Malaysia; atau datuk atau neneknya dilahirkan di Malaysia.

Sebagai contoh, pemain-pemain berdarah campuran yang telah pun menyarung jersi Harimau Malaya antaranya Matthew Davies, Darren Lok, Brendan Gan, Kiko Insa, Natxo Insa dan terbaharu, Nicholas Swirad yang dipanggil untuk kem latihan pusat baru-baru ini.

Selain itu, pemain asing yang telah bermain dalam liga bola sepak tempatan dan menetap secara minimum di Malaysia 5 tahun berturut-turut. Antaranya pemain asing pertama yang sudah pun menyarung jersi Harimau Malaya sejak tahun lalu ialah pemain Pahang, Mohamadou Sumareh yang berasal dari Gambia.

Manakala proses jangka pertengahan pula membabitkan pemain  asing baharu berusia 18 tahun ke atas dan telah bermain dalam Liga Malaysia untuk 1 atau 2 tahun, serta meyakinkan pemain untuk menetap dengan minimum 5 tahun.

Proses jangka panjang membabitkan pemain asing yang masih di peringkat remaja (bawah 18 tahun)

Menurutnya, berapa jumlah pemain, lingkungan usia pemain, negara asal pemain dan lain-lain perkara berkaitan akan dicadangkan oleh panel teknikal yang akan ditubuhkan.

Panel teknikal terdiri daripada Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo, barisan jurulatih-jurulatih kebangsaan dan individu-individu lain yang berkaitan ini akan memberi cadangan dan nasihat kepada FAM dari sudut teknikal.

Badan itu menambah, segala butiran lanjut dan perkembangan terbaharu mengenai proses naturalisasi ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa untuk makluman seluruh pemegang taruh bola sepak negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast