Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengambil keputusan untuk menangguhkan penguatkuasaan penggunaan gas petroleum cecair (LPG) komersial ke atas kedai makan termasuk, restoran, kedai kopi dan warung, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chien Jen.

Berikutan keputusan ini kedai makan dibenarkan mengguna LPG yang disubsidi kerajaan.

Bagaimanapun, Chong berkata pengecualian ini tidak tertakluk kepada kilang, hotel dan perniagaan berskala besar yang perlu mematuhi peraturan menggunakan LPG komersial.

Beliau berkata keputusan menangguhkan penguatkuasaan itu dibuat berikutan kebimbangan dalam kalangan pengendali kedai makan kerana ia akan meningkatkan kos operasi perniagaan mereka dan harga makanan.

β€œIa sudah tentu akan meningkatkan lagi kos sara hidup rakyat,” kata Chong sambil menambah kerajaan prihatin untuk mengurangkan kos sara hidup yang tinggi.

Beliau berkata penguatkuasaan itu ditangguhkan sehingga keadaan ekonomi bertambah baik, ini membuktikan kerajaan peka dengan keperluan rakyat.

Chong berkata harga LPG untuk kegunaan isi rumah tempatan menerima subsidi yang besar daripada kerajaan dan pada tahun lepas kerajaan membelanjakan RM2.2 bilion dalam subsidi.

Sementara itu harga LPG komersial tidak disubsidi dan harganya turun naik mengikut harga pasaran. Buat masa ini harga LPG tidak bersubsidi ialah sekitar RM3.10 sekilogram.

Beliau berkata baru-baru ini bahagian penguatkuasaan kementerian ada mengeluarkan surat kepada restoran, kedai kopi dan warung supaya mereka menggunakan LPG komersial, tetapi tiada saman dikeluarkan. – MalaysiaGazette