Gelagat penyokong Barisan Nasional (BN) ketika memberi sokongan kepada calon pada Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Sendayan, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 30 MAC 2019.

PRK RANTAU – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) menyaksikan agenda penyatuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pas ternyata benar dan semakin diperkukuhkan.

Semasa proses penamaan calon di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Bandar Sri Sendayan, kelihatan tiga logo iaitu BN-UMNO- Pas disatukan dalam satu bendera.

Malah beberapa kepimpinan Pas setia menemani calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan antaranya Naib Presidennya, Idris Ahmad, dan Ketua Dewan Ulama Datuk Mahfodz Mohamed.

Turut kelihatan bekas Exco Selangor dan bekas ADUN Selat Kelang, Dr Halimah Ali.

Hadir mengiringi Mohamad adalah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selain kepimpinan UMNO antaranya Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Noriani Ahmad.

Ini kerjasama ketiga Pas turun menyokong calon BN, dalam siri PRK antaranya di Cameron Highlands, Semenyih dan DUN Rantau.

Kehadiran Unit Amal Pas yang bertungkus lumus menjaga kesesakan ratusan penyokong BN dan Pas juga membuktikan bahawa agenda penyatuan ummah yang turut menerima restu MCA dan MIC kini semakin lancar. -MalaysiaGazette