Pemimpin-pemimpin negara Arab bermesyuarat dalam Sidang Kemuncak Negara Arab di Tunisia. foto Agensi

TUNIS – Para pemimpin Arab akan mendapatkan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap keputusan Amerika Syarikat untuk mengiktiraf kedaulatan Israel di Golan Heights.

Malah, negara-negara Arab berjanji untuk menyokong rakyat Palestin dalam usaha mereka untuk menjadi sebuah negara.

Pemimpin Arab yang telah lama berpecah akibat persaingan serantau, juga menamatkan sidang kemuncak tahunan mereka di Tunisia dengan menyeru kerjasama dengan Iran bukan Arab berdasarkan tidak campur tangan dalam urusan masing-masing.

Kepimpinan Arab yang bergelut dengan persengketaan Teluk Arab, bertelingkah susulan pengaruh serantau Iran, peperangan di Yaman dan pergolakan di Algeria dan Sudan mencari dasar yang sama selepas Washington mengiktiraf kedaulatan Israel di Golan Height.

“Kami, para pemimpin negara Arab berkumpul di Tunisia … menyatakan penolakan dan mengutuk keputusan Amerika Syarikat yang mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas Golan Heights,” kata Setiausaha Liga Arab, Ahmed Aboul Gheit.

Beliau berkata, negara Arab akan mengemukakan resolusi draf kepada Majlis Keselamatan PBB. dan mendapatkan pendapat undang-undang dari Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengenai keputusan Amerika Syarikat.

Ia merupakan amaran kepada negara-negara lain supaya tidak turut serta dengan Washington.

Trump menandatangani satu pengisytiharan minggu lalu yang mengiktiraf Golan Heights sebagai sebahagian daripada Israel, yang diduduki pada tahun 1981 selepas menawannya dari Syria pada tahun 1967.

Sebelum ini, keputusan awal Trump untuk iktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel turut dikecam negara-negara Arab.

Raja Arab Saudi Salman bin Abdulaziz memberitahu, pemimpin Arab “benar-benar menolak” sebarang langkah yang menjejaskan kedaulatan Syria di Golan Heights. – MalaysiaGazette