Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Mengapa Kerajaan Pakatan Harapan dipersoal mengapa Johor perlu membina jambatan ketiga sedangkan projek Sistem Transit Rapid (RTS) masih belum dimukakan.

RTS adalah projek pengangkutan awam yang mampu mengurangkan kesesakan lalulintas di jambatan-jambatan sedia ada yang telah pun dipersetujui oleh Kerajaan Malaysia dan Singapura.

SMRT Singapura dan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) adalah dua syarikat milik kerajaan masing-masing yang dilantik untuk melaksanakan projek RTS.

Sebelum ini, Singapura mendakwa projek RTS ditunda kerana Prasarana hendak digantikan dengan syarikat lain, (https://www.todayonline.com/…/johor-baru-singapore-rts-link…

Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Kas Siong mempersoalkan kenapa projek itu tidak diteruskan oleh Prasarana dan syarikat swasta mana yang akan menggantikan Prasarana.

Kelmarin, Menteri Besar Johor berkata, negeri itu memerlukan jambatan baharu ke Singapura bagi meredakan kesesakan kritikal di dua pintu masuk negara di Tambak Johor dan Tuas.

Datuk Osman Sapian berkata, masalah kesesakan yang semakin serius di dua pintu masuk negara berkenaan perlu penyelesaian jangka panjang bagi membolehkan pertumbuhan ekonomi negeri tidak terbantut.

Menurut beliau lagi, kalau kerajaan tidak mampu menanggung kos membina jambatan ketiga, projek itu boleh diserahkan kepada pihak swasta.

Mengulas kenyataan Osman, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata: “Cakap bukan main senang. Syarikat swasta mana yang sanggup membina jambatan ketiga tanpa pulangan?

“Adakah kerajaan negeri mahu melaksanakan pertukaran tanah atau atau kutipan tol?

“Ingat, kalau nak membina jambatan, prinsipnya ialah berapakah tol yang dikutip di Malaysia, itulah nilai tol yang bakal dikutip oleh pihak Singapura,” katanya sambil mengingatkan bahawa formula ini digunapakai untuk Tambak Johor dan Linkedua.

Tambahan pula, kata Ka Siong, kalau bina jambatan, pihak Singapura melalui Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat akan mengenakan permit kemasukan kenderaan sebanyak SGD35 sehari (RM108 sehari) ke atas setiap kenderaan yang masuk ke Singapura.

“Faham tak, MB?,” katanya.

Ka Siong menegaskan projek RTS akan memanfaatkan hampir 288,000 pengguna yang berulang-alik di antara kedua-dua negara setiap hari.

Lagipun, ia adalah pengangkutan yang paling cepat, murah dan boleh dipercayai.

Lantaran itu, soalnya, kenapa projek RTS tidak diteruskan mengikut jadual?

“Tak perlu rakyat kita dan pelancong asing sengsara beratur berjam-jam untuk memasuki Malaysia dari Singapura dan ini pasti akan merancakkan lagi ekonomi Malaysia khususnya di selatan Johor,” ujar beliau.

Projek RTS yang menghubungkan Bukit Chagar bersebelahan Johor Baharu Sentral dan Woodlands di Singapura dengan frekuensi perkhidmatan 4 minit setiap tren pada waktu puncak dan 8 minit setiap tren pada waktu luar puncak.

Projek ini yang akan mula beroperasi pada tahun 2025 di jangka akan memanfaatkan hampir 288,000 pengguna yang berulang-alik di antara kedua-dua negara setiap hari.

Hari ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan meminta lanjutan tempoh sehingga September ini daripada Singapura sebelum membuat sebarang keputusan berhubung projek tersebut.

Katanya, kerajaan perlu memperhalusi pelbagai perkara termasuk isu berkaitan kos untuk melaksanakan projek berkenaan. – MalaysiaGazette