KUALA LUMPUR – Tiga individu ditahan dalam satu serbuan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana dipercayai terlibat dengan penyalahgunaan media sosial.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan dan Siasatan SKMM, Datuk Mohd. Shafie Harun berkata, ketiga-tiga individu yang ditahan itu kerana didakwa melakukan kesalahan menjurus kepada perbuatan menghantar kandungan jelik dan video seks serta lucah melalui aplikasi WhatsApp dan sistem pesanan ringkas (SMS) dengan niat menganggu dan menyakitkan hati orang lain.

“Dalam serbuan itu, turut dirampas sejumlah 16 barang kes berupa kad sim, kad memori, telefon bimbit, cakera keras luaran (external hard disk) komputer riba, selain penemuan gambar-gambar lucah dan video seks berkaitan dengan kes-kes yang disiasat.

“Operasi serbuan kali ini tertumpu kepada empat lokasi iaitu di Bangi, Shah Alam, Kuala Lumpur dan Cameron Highlands.

“Serbuan terbaru ini dibuat selepas pihak SKMM menerima aduan daripada orang ramai dan menyusul hanya seminggu selepas serbuan sama dijalankan di sebanyak 11 lokasi di beberapa buah negeri yang lain,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd. Shafie berkata, kandungan yang diterima dalam telefon pengadu dan kad sim serta telefon bimbit perlu diserahkan kepada Jabatan Forensik Digital SKMM untuk analisa forensik digital.

Tegasnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan jika sabit kesalahan akan dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Sehingga 30 Mac, SKMM telah menerima 110 kes berkaitan salah guna media sosial manakala pada tahun lepas sahaja sebanyak 237 kes direkodkan.

Selain itu 710 barang kes disita dari 2018 sehingga 30 Mac ini.

Kes berprofil tinggi seperti penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW atau institusi diraja diberi keutamaan nombor satu untuk diselesaikan dalam dua hingga empat minggu manakala kes-kes keutamaan nombor dua pula harus diselesaikan dalam 12 minggu.

Sementara kes keutamaan nombor tiga pula dalam 24 minggu. – MalaysiaGazette