Abdul Hadi
Bilik Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih lagi mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Tinjauan MalaysiaGazette di institut itu mendapati, bilik yang menempatkan Ahli Parlimen Marang dikawal dua lelaki dipercayai anggota Jabatan Amal parti pimpinannya.

Difahamkan, setakat ini tidak ada lagi pemimpin daripada mana-mana parti politik menziarahi beliau yang telah dimasukkan ke institut berkenaan sejak semalam.

Malah, pihak institut hanya membenarkan Abdul Hadi ditemui oleh ahli keluarga terdekat ekoran kesihatannya yang terganggu dan memerlukan beliau berehat secukupnya.

Abdul Hadi pernah menjalani pembedahan menggantikan injap jantung di IJN pada 16 Mei 2017.

Pembedahan itu berikutan peningkatan simptom akibat injap jantung beliau yang rosak hingga menyebabkan aktiviti hariannya semakin terjejas. – MalaysiaGazette