KUALA LUMPUR – Semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan berada di belakang Tun Dr. Mahathir Mohamad sehingga tamat penggal ini sekiranya wujud gerakan ‘menjatuhkan’ Perdana Menteri dalam Pakatan Harapan (PH).
Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, sokongan itu demi kestabilan negara dan ekonomi dan Mahathir perlu menjalankan tugasnya demi kepentingan rakyat.
“Saya memberikan sepenuh sokongan kepada Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga pilihan raya akan datang, sekiranya ada mana-mana pihak yang cuba untuk menjatuhkannya .
“Demi kestabilan negara dan ekonomi, kesemua Ahli Parlimen BN akan menyatakan sokongan, kami mahu Perdana Menteri kita (Mahathir) untuk terus mentadbir Malaysia dan melaksanakan tanggungjawab beliau untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.
Hishamuddin turut membidas tindakan pimpinan PH yang melabelkan Mahathir sebagai seorang diktator.
“Saya pernah bekerja di bawah pentadbiran Dr. Mahathir selama 20 tahun, tuduhan yang mengatakan beliau seorang diktator sangat tidak masuk akal.
“Saya tak ada masalah pun dalam tempoh 20 tahun itu, jadi kenapa sekarang timbul isu diktator malah dibangkitkan sendiri oleh mereka dalam PH… kurangkanlah politik sesama sendiri.
“Wakil rakyat BN sesama kita harapkan kepimpinan yang ada sekarang termasuk Perdana Menteri kekal. Kalau kedudukan Perdana Menteri tergugat, saya yakin rakan-rakan di dalam BN akan bersama Dr. Mahathir.
“Sebab itu saya harap masalah dalaman sesama mereka dapat dikurangkan, isu diktator dan sebagainya tidak membantu kita untuk memulihkan ekonomi, menstabilkan kerajaan dan tidak membantu koordinasi kementerian untuk dilihat sebagai kerajaan yang dapat diterima baik oleh dunia,” katanya lagi.
Untuk rekod, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan terbuka menyatakan UMNO sedia menyokong Mahathir dalam isu yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara.
Katanya, sokongan UMNO itu bagaimanapun bergantung kepada situasi dan keadaan semasa negara.-MalaysiaGazette