G. Gnanaraja

SHAH ALAM – Ahli perniagaan G. Gnanaraja hari ini berhadapan dengan tiga pertuduhan rasuah RM19 juta melibatkan penipuan  menutup kes berkaitan projek terowong Pulau Pinang.

Beliau ketika dibacakan semua pertuduhan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan meminta dibicarakan.

Pertuduhan pertama adalah menipu Pengarah Urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli  bahawa beliau akan membantu menutup siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mendorong diberikan RM2 juta pada Julai 2017.

Pertuduhan kedua, pada tarikh 25 Julai, menipu pihak yang sama dengan mendorong diberikan RM15 juta.

Manakala pertuduhan ketiga pada Ogos 2017 mendorong pihak yang sama memberinya RM2 juta untuk menutup kes SPRM di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001.

Setiap satu pertuduhan di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan jika didapati bersalah  penjara tidak kurang setahun atau tidak lebih 10 tahun maksimum dan sebatan serta denda.

Hakim Rozina Salleh menetapkan ikat jamin RM100,000 seorang penjamin untuk semua pertuduhan dan dokumen perjalanannya perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes perbicaraan selesai.

Sebutan semula kes pada 6 Mei 2019.

Untuk rekod pada 27 Febuari 2018 SPRM menahan Ghanaraja kerana disyaki menerima rasuah RM19 juta bagi mempengaruhi penutupan kes siasatan projek mega terowong dasar laut yang bernilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang.

Suspek yang berumur 37 tahun itu dipercayai menerima wang berkenaan dari sebuah syarikat selepas beliau dikatakan mampu “menyelesaikan” siasatan yang dijalankan oleh SPRM.-MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: 

Jutawan terima RM19j tutup siasatan projek terowong didakwa esok