Bekas Ahli Parlimen Padang Serai, N.Gobalakrishnan (kanan) berperang mulut dengan seorang pegawai polis kerana tidak dibenarkan masuk ke dalam kamar perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 03 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan berang selepas tidak dibenarkan masuk ke kamar perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebentar tadi.

Berikutan rasa tidak puas hati, Gobalakrishnan bertindak menjerit-jerit sambil membuat video ‘live’ kerana tidak dibenarkan masuk memandangkan kamar sudah penuh.

Katanya, beliau rasa seperti dianayai kerana tidak dibenarkan masuk mengikuti prosiding mahkamah.

Ahli politik MIC itu kemudian juga bergaduh dengan pengawal keselamatan di situ sebelum bermulanya prosiding sehingga berlaku perang mulut.

Malah jeritan beliau boleh didengari sehingga ke dalam kamar prosiding sehingga menyebabkan rata-rata berasa tidak senang duduk untuk mengikuti prosiding itu dengan aman.

Beliau diminta keluar pada awalnya
dari kamar mahkamah yang ketika itu sudah dipenuhi dengan petugas media yang mengikuti perbicaraan Ahli Parlimen Pekan itu.

Selang beberapa minit, beliau akur dengan arahan untuk mendiamkan diri sejurus selepas prosiding bermula. -MalaysiaGazette