Pesawat China yang membawa bantuan kemanusiaan mendarat di Caracas, Venezuela.

BEIJING – Beijing menafikan laporan bahawa negara itu telah menghantar sepasukan tentera ke Venezuela bersama-sama dengan penghantaran bantuan kemanusiaan.

Penghanataran 65 tan ubat tiba di Caracas pada Jumaat lalu.

Naib Presiden Venezuela, Tareck El Aissami mengalu-alukan penerbangan bantuan itu dan memuji ‘kepentingan dan tahap strategik’ kerjasama antara Beijing dan Caracas.

Bagaimanapun, laporan yang tidak disahkan menyatakan terdapat lebih 120 anggota tentera Chinese People’s Liberation Army mengiringi penerbangan bantuan yang membawa bekalan ketenteraan untuk Presiden Nicolas Maduro.

Bagaimanapun Beijing menafikan ia menghantar anggota tentera ke Venezuela, lapor RT.

Jurucakap Kementerian LuaL, Geng Shuang memberitahu wartawan: “Saya tidak tahu di mana anda dapat maklumat ini atau untuk tujuan apa ia disiarkan tetapi saya boleh beritahu anda bahawa ‘apa yang anda katakan adalah tidak benar’,” katanya dalam satu taklimat.

“Pendirian kerajaan China dalam isu Venezuela adalah konsisten dan jelas,” kata Shuang sambil menambah China menentang ‘campur tangan luar dalam hal ehwal dalaman di Venezuela dan percaya kerajaan dan pembangkang negara itu perlu mendapatkan penyelesaian politik menerusi dialog yang dilakukan secara aman’.

Laporan tersebut disiarkan kurang dua minggu tentera Rusia mendarat di Venezuela.

Penghantaran yang dilakukan di bawah terma perjanjian kerjasama 2001 antara Moscow dan Caracas itu mendapat perhatian Washington.

Presiden Donald Trump mengumumkan Rusia ‘perlu keluar’ dari Venezuela dan menyatakan ia ‘terbuka kepada semua pilihan’. – Agensi